PUTRAJAYA: Rayuan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari tahun hadapan.
Tarikh tersebut ditetapkan pada pengurusan kes petisyen itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Rizq Nurrqausar R. M. Bakri.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes lanjutan pada 31 Januari 2024.
Menurut dokumen yang dilihat media petang ini, notis rayuan oleh calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid difailkan pada 10 November lalu.
Abdul Hakim memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada 27 Oktober lalu.
Pada tarikh tersebut, Hakim Datuk Abu Bakar Katar mengekalkan kemenangan calon Perikatan Nasional, Datuk Mas Ermieyati Samsudin selepas memutuskan tiada unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu bagi parlimen terbabit.
Mahkamah turut memerintahkan Abdul Hakim membayar kos sebanyak RM50,000.
Mahkamah Tinggi Melaka pada 7 Februari lalu menolak petisyen pilihan raya difailkan BN untuk membatalkan kemenangan PN bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan kos sebanyak RM20,000.
Susulan pembatalan itu, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis mengisytiharkan Mas Ermieyati kekal sebagai penyandang kerusi dan beliau telah dipilih secara sah dalam PRU15 pada 19 November 2022.
Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan pada 2 Mei lalu memerintahkan petisyen pilihan raya itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh. – UTUSAN