TIDAK pasti sama ada trend atau sudah menjadi keperluan bagi kebanyakan ibu bapa untuk menghantar anak-anak menyertai kem motivasi atau perkhemahan setiap kali cuti persekolahan.
Segelintirnya sanggup berhabis ribuan ringgit bagi memastikan golongan sasar dapat memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti berfaedah dan ilmiah.
Namun, sikap ibu bapa itu mungkin menjerat anak-anak sekiranya penganjur program tersebut tidak bertauliah atau berlesan.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, penyertaan dalam program atau aktiviti di luar sekolah merupakan trend yang sihat.
Hal itu kerana, anak-anak berpeluang menambah ilmu pengetahuan, kemahiran, survival, motivasi dan sosial mereka.
“Secara asasnya, pelaksanaan sebarang program atau kem cuti sekolah di negara ini, ada kebaikannya.
“Aktiviti itu banyak diadakan di negara maju seperti kem musim panas dan sebagainya bagi mendedahkan anak-anak kepada persekitaran baharu selain di sekolah.
“Walaupun kem sedemikian bagus dan digalakkan tetapi ia mestilah memberi jaminan dari segi keselamatan anak-anak terutama fizikal, emosi dan rohani mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan para ibu bapa untuk memeriksa latar belakang penganjur sebelum memasukkan anak masing-masing ke dalam apa jua aktiviti.
Penganjur mesti berdaftar
Sebelum ini, wujud isu keselamatan lemah ketika pelajar berada di kem.
Bagi Anuar, perkara itu tidak boleh dikompromi walau apa jua alasan diberikan oleh penganjur.
Katanya, mana-mana individu, syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wajib berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum melaksanakan program dengan pelajar.
“Di negara maju, syarat pertama bagi pelaksanaan program di luar waktu sekolah adalah syarikat atau individu itu mestilah berlesen dan berdaftar.
“Ibu bapa kena main peranan dan jangan percaya bulat-bulat iklan atau promosi program, sebaliknya siasat tentang latar belakang penganjur serta acara itu,” katanya.
Saranan itu penting bagi mengelak situasi tidak diingini seperti kemalangan yang menyebabkan anak-anak menjadi mangsa dan tuntutan tidak boleh dilakukan.
Penceramah, jurulatih pakar
Di Malaysia, segelintir penceramah atau jurulatih kem motivasi didapati merupakan lepasan sekolah dan universiti yang tiada pekerjaan.
Anuar berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana golongan berkenaan tiada kepakaran untuk membimbing pelajar.
“Kita tidak mahu apa yang diajarkan di kem bertentangan dengan ilmu di sekolah kerana mungkin penceramah atau jurulatih tidak berkelayakan hingga boleh mengelirukan anak-anak.
“Jika ada pendaftaran dibuat dengan pihak KPM, maka kita dapat memastikan anak-anak akan melalui pengalaman pembelajaran dan aktiviti yang bermanfaat di kem itu,” katanya. -UTUSAN