Pelarasan gaji profesion teknikal diutama dalam kajian SSPA - PM

Pelarasan gaji profesion teknikal diutama dalam kajian SSPA – PM

ANWAR Ibrahim melawat ruang pameran selepas merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa golongan profesion teknikal akan diberi tumpuan sewajarnya dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Perdana Menteri berkata, beliau mahu kumpulan profesional itu dapat mengemukakan input munasabah dalam soal pelarasan gaji menerusi SSPA.

“Peranan dan golongan profesion teknikal ini perlu diiktiraf sesuai dengan keadaan dan pertumbuhan ekonomi negara sekarang.

“Kedudukan golongan ini sangat kritikal dan saya telah beri komitmen iaitu dalam pelarasan gaji peranan profesion teknikal itu harus diberikan tempat sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Hari Profesion Teknikal Negara 2023, di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, beliau mahu syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalinkan kerjasama lebih erat dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya tenaga kerja dihasilkan seiring keperluan industri.

Menurutnya, beliau sendiri mengarahkan supaya Khazanah Nasional Bhd, Telekom Malaysia (TM), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan beberapa syarikat lain melibatkan diri secara langsung dalam latihan TVET.

“Dengan cara ini, kita tahu keperluan pasaran dan jenis latihan yang perlu diberikan. Ketika ini, sebanyak 64 syarikat swasta dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bekerjasama dengan institusi TVET,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, persepsi rakyat terhadap TVET berbeza kerana berlaku peningkatan kemasukan pelajar peringkat diploma bagi program itu di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu seramai 58,424 pelajar pada 2021 kepada 85,535 pelajar pada 2022.

Pada masa sama, katanya, struktur latihan profesional dan teknikal dalam TVET juga perlu dipertingkatkan memandangkan 97 peratus lulusan TVET sekarang mendapat pekerjaan dengan majoriti gaji masih sekitar RM2,000.

“Dengan gaji RM2,000 sebulan tidak cukup untuk hidup zaman sekarang tetapi kalau ada latihan seperti dilakukan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Sarawak dan pusat latihan di Sabah ia dilihat berbaloi.

“Dengan sendirinya selepas lulus ada peningkatan upah itu daripada RM2,000 kepada minima RM3,500 sampai ke RM5,000 dan untuk welding (kerja-kerja kimpalan) menurut Petronas boleh mencecah RM7,000 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau menzahirkan rasa bangga dengan barisan Jemaah Menteri di bawah pimpinannya kerana telah memastikan setiap projek pembangunan dilakukan dengan telus.

“Selagi ALLAH SWT beri kekuatan dan kestabilan politik yang ada, saya akan perang dengan orang yang salah guna kuasa tidak kira pangkat, tidak kira dia Tun atau Tan Sri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya