Peguam kes amang seksual pertimbang kemuka representasi

Peguam kes amang seksual pertimbang kemuka representasi

PEMBANTU operasi kolej vokasional (berbaju hitam dan memakai pelitup muka) hadir Mahkamah Sesyen Putrajaya bagi sebutan kes amang seksual yang dihadapinya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pembelaan dalam kes seorang pembantu operasi kolej vokasional sedang mempertimbang mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima remaja lelaki yang dihadapi anak guamnya.

Peguam Nasrul Hadi Mat Saad yang mewakili tertuduh berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lelaki berusia 44 tahun itu selepas pihaknya selesai meneliti dokumen kes berkenaan.

Ujarnya, pada sebutan kes hari ini, pihaknya menerima dokumen yang diserahkan oleh pendakwaan dan selanjutnya akan diteliti sebelum mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam.

“Kalau buat keputusan untuk failkan representasi, mahkamah arahkan ia dihantar dalam tempoh tiga minggu sebelum pengurusan kes dua bulan lagi,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Datin M. Kunasundary menetapkan 16 Februari depan untuk pengurusan kes.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya mengesahkan akan memaklumkan jumlah saksi untuk perbicaraan pada pengurusan kes berkenaan.

Pada 13 Oktober lalu, pembantu operasi kolej vokasional itu mengaku tidak bersalah di hadapan hakim sama atas tujuh tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima remaja lelaki.

Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 16 dan 17 tahun bagi tujuan seksual, di kolej terlibat antara Februari 2022 dan September lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN