PETALING JAYA: PDRM FC dinobatkan selaku juara Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023 selepas menumpaskan Kuching City FC 4-1 secara agregat.
Berbekalkan kelebihan tiga gol hasil pada final pertama pada Rabu lalu, skuad The Cops terikat 1-1 menentang KCFC pada aksi final kedua di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Dalam pertembungan itu, skuad tuan rumah melancarkan serangan awal bagi merapatkan kedudukan namun, ketumpulan jentera serangan mengampakan mereka.
Asakan tuan rumah membuahkan hasil selepas mereka berjaya meledak gol pertama menerusi rembatan Petrus Shitembi pada minit ke-32 untuk menjadikan kedudukan 1-3 secara agregat.
Bersambung babak kedua, PDRM FC kembali berkelebihan tiga gol apabila rembatan deras Uche Agba dari luar kotak penalti menewaskan Wan Muhammad Azraie Wan Teh pada minit ke-56.
Selepas itu, kedua-dua pasukan buntu untuk menambah jaringan, sekali gus membolehkan skuad kendalian Datuk Yunus Alif muncul selaku juara Piala Cabaran MFL 2023.
Untuk rekod, ia adalah trofi ketiga buat PDRM FC dalam kancah domestik selepas memenangi kejuaraan Liga Perdana pada musim 2007 dan 2014 sebelum ini.-UTUSAN