Pasukan negara sertai Piala Dunia Hoki 5 di Oman Januari depan

Pasukan negara sertai Piala Dunia Hoki 5 di Oman Januari depan

ANTARA barisan pemain lelaki dan wanita diperkenalkan kepada media dengan jersi baharu menjelang Piala Dunia Hoki 5 di Oman, Januari depan. -IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki dan wanita negara akan beraksi di Piala Dunia Hoki 5 yang julung kali diadakan di Muscat, Oman pada Januari tahun depan.

Acara yang baru dimasukkan ke dalam kalendar Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) itu bakal menyaksikan Piala Dunia Hoki 5 Wanita dilangsungkan pada 24-27 Januari, manakala untuk pasukan lelaki bermula 28-31 Januari depan.

Pengurus pasukan Hoki 5, Syukri Mutalib berkata, persediaan skuad negara telahpun bermula sejak minggu lalu terutama pasukan lelaki.

“Bagaimanapun, pada ketika ini para pemain diberi rehat selama seminggu dan minggu depan mereka akan kembali menyertai sesi latihan di Bukit Jalil.

“Kita akan membuat sesi pemilihan lapan pemain dan dua penjaga gol pada pertengahan Januari ini, sebelum terbang ke Oman,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, semalam.

Skuad lelaki negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama-sama Fiji, Oman dan Amerika Syarikat, manakala, pasukan wanita diundi dalam Kumpulan A yang turut disertai Belanda Oman serta Fiji.

Ketika ditanya mengenai sasaran separuh akhir yang diletakkan oleh Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, kalau boleh dia enggan menghadirkan tekanan kepada para pemain dengan meletakkan sasaran yang spesifik.

Jelasnya, buat masa ini, fokus utama ialah mempersiapkan pasukan sebaik mungkin kerana lawan yang berada dalam kumpulan sama dengan Malaysia bukanlah calang-calang pencabar.

“Piala Dunia Hoki 5 ini dianjurkan buat kali pertama, jadi, sukar untuk kita dapatkan gambaran jelas mengenai kekuatan pasukan lawan, sebab itu, kita cuba elak letak sasaran terlalu awal.

“Kita akan fokus perlawanan demi perlawanan, supaya pemain tidak terlalu tertekan untuk bermain pada Piala Dunia,” ujarnya.

Syukri memberitahu, cuma menjadi harapannya skuad negara mampu melepasi halangan peringkat kumpulan dan kalau boleh cuba dapatkan keyakinan dengan memburu kemenangan dalam aksi sulung berdepan Oman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya