Norza sedia dikritik, buat pusingan U terajui BAM

Norza sedia dikritik, buat pusingan U terajui BAM

MOHAMAD Norza Zakaria (tengah) bersama barisan kepimpinan MOM, jurulatih dan atlet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui tidak gentar dan lali dan setiap kritikan yang dilemparkan kepadanya, khususnya membabitkan keputusan untuk kembali memegang jawatan No. 1 dalam badan induk tersebut.

Norza sedar ramai pihak mungkin tidak berpuas hati setelah dia sebelum ini mengumumkan untuk mengundur diri daripada BAM, selain turut menamakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai penggantinya.

Begitupun, Norza melihat ada tugasan yang harus diselesaikannya, iaitu kempen Sukan Olimpik Paris 2024 yang hanya berbaki lapan bulan sahaja lagi sebelum ia membuka tirai, dan sebarang polemik di peringkat pentadbiran tertinggi BAM mungkin akan merencatkan persiapan pasukan negara ke temasya itu.

Menerusi Mesyuarat Ahli Majlis BAM yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam, Norza dipilih semula untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden, selain turut mendapat saranan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Kami sudah biasa untuk menerima kritikan daripada pihak luar apabila memikul tugasan ini. Kami melakukan semua ini atas dasar sukarela, menyediakan khidmat kami secara pro bono.

“Kadang-kala, apabila timbul beberapa isu besar, ia akan menimbulkan kritikan daripada beberapa pemegang taruh yang tidak begitu gembira dengan keadaan tersebut, tetapi ini lumrah yang saya perlu berdepan ketika memegang jawatan ini

“Tentu sahaja ia (pelantikan semula) akan mengundang kritikan, tetapi kami perlu apa yang baik untuk organisasi ini, mandat telah diberikan sebulat suara oleh Ahli Majlis sekali lagi kepada saya, dan saya akan buat yang terbaik mengikut proses yang ditetapkan ,” jelas Norza kepada pemberita dalam satu sidang media semalam.

Dalam masa sama, Norza menafikan bahawa wujudnya konspirasi terancang untuk dirinya terus kekal menduduki kerusi No.1 badan induk badminton negara berkenaan.

“Itu sama sekali tidak benar, langsung tidak dirancang. Ini adalah mengenai kerjasama, bermaksud kami (Norza dan Hannah) mempunyai pemikiran yang sama, dan saya faham apa dia nak cakap.

“Mungkin dia mendengar pelbagai perkara apabila saya mahu meletakkan jawatan, dan itu mungkin menggugat persediaan Sukan Olimpik Paris, jadi saya anggap saranan dia itu adalah untuk kami di BAM terus kekal fokus kerana pemain kami merupakan jumlah paling besar dalam kontinjen Malaysia.

“Jadi apa yang berlaku dalam BAM, akan memberikan kesan kepada persediaan para pemain. Jadi saya lihat saranan yang dibuat oleh beliau (Hannah) amat tepat sekali bagi memastikan kelangsungan program sedia ada,” tambah Norza.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya