KUALA SELANGOR: Lahir tanpa kedua belah tangan dan kaki kanan sedikit pendek berbanding kaki kiri bukan alasan untuk seseorang menyerah dengan takdir.
Menurut graduan Diploma Pentadbiran Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar yang tular kebelakangan ini kerana memandu kereta dengan kaki, Norfarrah Syahirah Shaari, 35, orang kurang upaya (OKU) bukanlah gelaran yang melemahkan dirinya tetapi menjadi cabaran untuk dia melakukan semua perkara yang dilakukan manusia normal.
“Saya memandu sendiri dengan kaki selama dua jam untuk ke kelas di UiTM Seri Iskandar dari Sungai Sumun Bagan Datuk bagi mengikuti kelas luar kampus. ‘Alah bisa tegal biasa’.
“Jika saya boleh melakukannya saya golongan OKU di UiTM untuk tampil mendaftar dengan Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO) bagi membolehkan mereka dibantu secara komprehensif,” katanya pada Majlis Sambutan Hari OKU UiTM, semalam.
Norfarrah Syahirah yang mempunyai hampir 800,000 pengikut di Tik Tok dan memperoleh tanda suka video lebih 8 juta itu memberitahu, sokongan keluarga iaitu ibu, Naimah Yusop,75; bapa, Shaari Othman,77 dan suami Zulfadli Sharul, 33 menjadi sumber kekuatan untuk dirinya terus membina kehidupan lebih baik.
“Sokongan keluarga adalah perlu untuk seseorang OKU terus berjaya. Ibu bapa saya mendidik saya untuk ke sana sini seperti menaiki bas dan ke tempat awam dengan yakin.
“Jangan jadikan kekurangan perkara yang melemahkan diri kita kerana masih ramai yang menyayangi kita untuk berjaya. Pekakkan telinga kepada manusia yang suka menghina, jadikan ia sumber kekuatan diri,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor Strategi UiTM, Profesor Dr. Nor Hayati Saad pada program itu memberitahu, UPO menerima pendaftaran seramai 464 OKU dalam sistem UiTM melibatkan mahasiswa, staf dan warisnya walaupun jumlah sebenar melibatkan ribuan individu yang layak.
Jelasnya lagi, beliau berharap Norfarrah Syahirah mampu menyuntik motivasi kepada ibu bapa dan golongan OKU untuk dibantu pihak UPO dan bersemangat menuntut ilmu pengajian tinggi dan menjadi golongan profesional.
“Setakat ini dalam data kita 30 graduan OKU telah lulus Sarjana (Master) dan 110 graduan memiliki Ijazah Sarjana Muda. Kita percaya lebih ramai golongan OKU sebagai graduan boleh kita hasilkan jika mereka tampil untuk dibantu secara menyeluruh dan sistematik,” jelasnya. – UTUSAN