Naluri keibuan tulus, tak perlu menunjuk-nunjuk

Naluri keibuan tulus, tak perlu menunjuk-nunjuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA wanita menjadi ibu, rutin hidupnya tidak lagi sama seperti bujang. Kalau ada yang mengatakan sama, memang bohonglah.

Mengurus makan pakai untuk ahli keluarga, rutin yang ‘wajib’ dipatuhi. Lebih-lebih lagi kalau anak-anak kita itu masih di bawah umur.

Biarpun tugasan hakiki isteri melayani suami, tetapi jiwa si ibu akan lebih puas kalau dapat melangsaikan tugasan mengurus anak-anak. Tidak kiralah wanita itu berstatus B40, M40 atau T20 sekalipun.

Biarpun kadangkala mulut si ibu berbunyi, tetapi anggaplah ia suatu melodi, sebab dalam setiap bebelan dan teguran itu pasti terselit ilmu di dalamnya.

Bayangkan kalau dalam seharian ibu diam. Bangun, sediakan sarapan dan terus keluar rumah. Balik kerja pun sama, mandi dan terus tidur.

Anak-anak dan suami pasti cuak dan bimbang dengan kelakuan si ibu. Kalau tidak percaya cubalah buat.

Berbalik kepada pengurusan keluarga, masa saya beranak satu dulu ada rakan sepejabat yang saya panggil kak Zana, rutin paginya dipenuhi dengan aktiviti memasak untuk makan sarapan pagi dan tengah hari sebelum beliau keluar bekerja.

Seronok katanya memasak untuk keluarga. Kalau balik lambat sebab kerja overtime atau bersidai dalam kesesakan lalu lintas, dia tidak perlu risaukan anak-anak yang menunggu di rumah dalam situasi kelaparan. Takkan nak beli dan harapkan suami je?

Waktu itu saya fikir kak Zana ibu yang terlebih rajin. Bagi saya, lebih praktikal makan di kedai saja untuk kami tiga beranak waktu itu.

Persoalan itu bagaimanapun terjawab kini bila empat anak saya semuanya sudah masuk sekolah. Membeli juadah untuk makan pagi, tengah hari hingga malam, tidak lagi praktikal untuk sebuah keluarga enam orang.

Tiada pilihan lain selain daripada memasak sendiri untuk ahli keluarga setiap hari sebelum ke tempat kerja.

Mula-mula memang rasa terbeban. Tetapi selepas kak Zana berikan tips, semuanya jadi mudah sebab ia bermodalkan kesungguhan dan semangat.

Puas bila anak-anak makan hasil masakan kita sendiri. Part paling best bila anak request sajian tertentu dan mahu masak bersama-sama.

Memang benar, naluri keibuan itu tulus, tak perlu menunjuk-nunjuk, ia datang daripada jiwa. Begitupun baru-baru ini saya terganggu apabila Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. G. Muralitharan, menegur segelintir wanita bergelar ibu yang liat menjalani pemeriksaan kesihatan kerana cenderung meletakkan keperluan orang lain melebihi keperluan diri.

Pemikiran ini perlu segera diubah bagi mengelakkan mudarat kesihatan jangka panjang. Belajar utamakan diri dan proaktif tentang kesihatan diri sebab kita tunjang keluarga.

Suami dan ahli keluarga lain perlu berpesan pada isteri sebab dalam sibuk mengurus keluarga, mungkin mereka terlupa. Badan melalui proses penuaan semula jadi dan matlamat utama, menua secara sihat.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya