KETIKA insan lain nyenyak tidur hingga dibuai mimpi indah, wanita berasal dari Terengganu ini pula khusyuk ‘bermain’ dengan bunga-bungaan.
Walaupun kedengaran pelik, tetapi Norsyahirah Ghani, 28, meraih ketenangan apabila membuat gubahan bunga tangan dalam keheningan malam.
Bahkan, idea dan kreativitinya turut melonjak dalam tempoh berkenaan.
Hampir setahun hobi itu dilakukan pada tengah malam berbanding di waktu siang.
“Saya seronok kerana suasana waktu itu sunyi dan tiada sebarang gangguan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu terlibat dalam hobi berkenaan tanpa diduga.
Ia bermula selepas beliau memuat naik gambar gubahan bunga tangan sempena hari bahagianya bersama pasangan, Muslim Amri, 29, pada Februari 2021.
Kata Norsyahirah, pengalaman berkahwin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendekatkannya dengan pelbagai projek do it yourself (DIY) kerana faktor masa.
“Cabaran berkahwin semasa PKP, kalau boleh semua urusan mahu disiapkan segera dan daripada situlah timbul idea untuk membuat bunga tangan sendiri dengan hanya menggunakan barang-barang di rumah iaitu bunga kering dan tali jut.
“Tidak sangka jambangan itu mendapat pujian hingga ramai kawan-kawan yang mahu menempah,” katanya.
Tempahan bunga tangan pertama diterima adalah daripada kenalan rapat, genap sebulan selepas majlis perkahwinannya.
Detik itu sekali gus menguatkan motivasinya untuk meneruskan hobi menggubah flora, lantaran baru berhenti kerja sebagai eksekutif insuran.
Minat mendalam
Sesiapa sahaja boleh menceburi hobi itu jika ada minat, namun Norsyahirah memberi amaran hobinya itu menuntut kos yang tinggi berikutan harga bunga yang agak mahal.
Katanya, minat pada flora dipupuk sejak kecil lagi apabila gemar membeli bunga segar.
“Tetapi saya tidak pernah betul-betul menggubah bunga dan sekadar keringkan sahaja, kemudian diletakkan di dalam pasu.
“Saya pun tidak percaya rupa-rupanya berbakat dalam bidang ini,” katanya.
Hobinya itu kemudian bertukar menjadi kerjaya di bawah jenama Bukan Bunga apabila nekad bergiat secara sepenuh masa bermula Februari tahun lalu.
Malah, beliau turut mengikuti tiga kelas gubahan bunga tangan untuk memantapkan lagi skil dimiliki.
Selain bunga kering, Norsyahirah yang kini menetap di Pandan, Kuala Lumpur turut menggubah bunga tiruan dan segar.
Katanya, ketiga-tiga jenis flora itu mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.
1 pelanggan, 1 rekaan
Bagi menjamin nilai eksklusif, wanita ini tidak mengulangi rekaan gubahan dihasilkan, sebaliknya setiap jambangan digubah hanya untuk satu pelanggan sahaja.
“Jika pelanggan mahukan jenis rekaan saya yang terdahulu, sebaik mungkin saya akan ubahnya mengikut kesesuaian pelamin, baju dan warna mereka.
“Sama juga kalau mereka bagi gambar inspirasi, hasilnya tidak sama 100 peratus kerana saya akan memilih bunga dan warna yang mirip berdasarkan kesesuaian majlis,” katanya.
Ikatan Korea
Biarpun kebanyakan ilham gubahan diinspirasikan daripada laman sosial Instagram, Pinterest selain perbincangan dengan pelanggan tetapi teknik ikatan Korea menjadi identiti sentuhan Norsyahirah
“Teknik ikatan Korea menampilkan ikatan bunga yang lebih longgar sekali gus menyuntik elemen estetik dan menyerlahkan lagi seri pengantin,” katanya.
Tubuh main peranan
Bentuk badan pengantin turut mempengaruhi saiz bunga tangan yang dihasilkan.
Perkara itu dikongsikan Norsyahirah bagi memastikan pelanggan mendapat jambangan yang ideal dengan mereka.
“Soalan pertama yang akan ditanyakan adalah saiz badan pelanggan.
“Kebiasaannya pelanggan gemarkan jenis gubahan bulat dengan ikatan Korea di samping penggunaan bunga berwarna,” katanya
Siap dalam 30 minit
Tempoh menyiapkan setiap gubahan berbeza-beza mengikut jenis bunga.
Bagi bunga segar, katanya, masa yang diperlukan hanya 30 minit sahaja manakala tiruan pula mencecah tiga jam.
“Gubahan itu memakan masa lama kerana banyak proses yang perlu dibuat termasuk memotong dawai (bunga tiruan) dan kemudian digam semula.
“Selagi belum buat ikatan, selagi itu saya boleh ubah warna dan jenis bunga pada jambangan,” katanya.
11 jambangan sehari
Setiap hari sekurang-kurangnya empat gubahan bunga dihasilkannya.
Bagaimanapun, jumlah tertinggi yang pernah disiapkan adalah sebanyak 11 jambangan sehari pada Ogos lalu.
“Jika di peringkat awal, saya cuma buat pada tengah malam tetapi kini rutin gubahan bermula seawal pukul 10 pagi hingga petang.
“Jika tempahan banyak terutama pada musim cuti sekolah dan kahwin, proses itu boleh berlanjutan hingga ke malam,” katanya.
Kesemua proses itu dilakukan bersendirian dan sesekali dibantu suami.
Beliau turut menyarankan pelanggan membuat tempahan bunga tangan lebih awal sebaik sahaja tarikh majlis perkahwinan ditetapkan.
Kecantikan ranunculus
Ranunculus yang persis ros merupakan bunga wajib untuk digunakan Norsyahirah dalam setiap gubahannya.
Bunga itu memiliki kecantikan tersendiri dan yang membuatkan jambangan tampak menawan.
“Saya jatuh cinta pada bunga ini sejak mula-mula minat pada bunga. Seboleh mungkin saya akan cuba memasukkannya dalam setiap gabuhan.
“Bunga lain yang saya suka ialah ros, baby’s breath, tulip dan calla lily,” katanya.
Jagaan bunga segar
Bunga segar diketahui tidak tahan lama dan gubahan lazimnya dibuat sehari sebelum majlis.
Norsyahirah berkata, perkhidmatan bunga tangan segar hanya ditawarkan menerusi pengambilan dari rumahnya dan tidak boleh diposkan sebagaimana bunga tiruan.
“Setiap jambangan disertakan dengan air dan makanan bunga di samping dibalut kemas serta diletakkan dalam beg kertas.
“Bagi yang tinggal berjauhan dan mengambil awal dua hari sebelum majlis, saya saran tidak dedahkan bunga pada sinaran matahari,” katanya.
Bunga tangan segar boleh tahan sehingga dua minggu selepas majlis jika betul penjagaannya seperti menukar air dan dipotong di bahagian bawah.
Trend estetik
Permintaan terhadap gubahan bunga tangan naik mencanak gara-gara trend estetik yang tular dalam kalangan generasi muda.
Kongsi Norsyahirah, kebanyakan bakal mempelai mahukan jambangan yang digubah khas mengikut citarasa mereka.
“Pengantin zaman sekarang sudah jarang pakai bunga tangan yang disediakan oleh mak andam atau pengusaha pelamin.
“Mereka mahukan kelainan dan keunikan kerana bunga tangan itu akan menjadi antara memori terindah yang disimpan sampai bila-bila,” katanya.
Dulang hantaran
Norsyahirah bertekad mengembangkan lagi potensinya dengan menceburi gubahan dulang hantaran dan jambangan bunga, bermula tahun depan.
Kelas-kelas sudah dihadiri sebagai langkah mempersiapkan diri ke arah misinya itu.
“Tahun depan, sasaran saya untuk meluaskan lagi perkhidmatan Bukan Bunga apabila pelanggan boleh menempah gubahan dulang hantaran selain bunga tangan,” katanya.-UTUSAN