PETALING JAYA: Cadangan agar bekas pemain kebangsaan menjadi jurulatih di peringkat sekolah menerima reaksi pelbagai daripada peminat bola sepak tempatan, malah guru yang sebelum ini menggalas tugas itu turut menyatakan pandangan masing-masing.
Selepas cadangan berkenaan diutarakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya di Dewan Negara kelmarin, ramai yang menyambut baik dan menyifatkan ia satu jalan terbaik untuk pembangunan akar umbi bola sepak di sekolah.
Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat cadangan tersebut perlu diperhalusi secara mendalam kerana sejak azali lagi di peringkat sekolah, sememangnya para guru yang memainkan peranan untuk mencungkil bakat para pemain untuk diketengahkan.
Bekas pemain dan jurulatih beberapa pasukan di Liga Malaysia (Liga M), Sulaiman Hussin berkata, dia bersetuju dengan cadangan berkenaan namun, bekas pemain perlu mendalami ilmu kejurulatihan akar umbi terlebih dahulu.
“Mereka perlu tahu proses pembangunan ini tidak sama dengan pasukan elit, tetapi kebanyakan bekas-bekas pemain masa kini lebih mengutamakan peluang di pasukan utama kerana di sini sumber pendapatan lebih lumayan
“Apa kaedah bagi memastikan bekas-bekas pemain ini sanggup untuk mengajar bola sepak di sekolah?. Pastinya tawaran dan pendapatan akan dititik beratkan. Nak mencadang itu mudah, tetapi nak realisasikan bukan semudah yang kita sangka.
“Semua bekas-bekas pemain apabila ditawarkan pasti soalan pertama adalah apa kami dapat kecuali ada satu silibus dalam lesen yang diambil mereka sekurang-kurangnya mereka harus mengajar setahun di mana-mana sekolah.
“Mereka juga perlu menghantar rekod latihan baru boleh pergi ke peringkat seterusnya, jika tiada syarat-syarat ini susah untuk kita nak laksanakan cadangan ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Kelmarin, Hisamudin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, cadangan itu antara perkara yang dibangkitkan oleh bekas-bekas pemain bola sepak kebangsaan dalam pertemuan dengan FAM baru-baru ini.
“Cadangan ini telah diutarakan oleh Datuk Santokh Singh dalam pertemuan itu. Tujuan utama cadangan ini adalah untuk memastikan pelajar-pelajar di sekolah dapat belajar teknik dan cara yang betul dalam permainan bidang bola sepak,” katanya.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, impian bekas-bekas pemain ini untuk kekal di pasukan utama atau belia lebih utama berbanding turun lebih rendah sampai ke peringkat sekolah, namun dia percaya ada yang sanggup menerima cabaran itu.
“Namun, kita juga wajar memikirkan sumber pendapatan mereka kecuali mereka sudah kaya raya ketika bermain dulu. Boleh cuba, tetapi Kementerian Pendidikan perlu ada bahagian khas di sektor sukan dengan peruntukan khas bagi merealisasikannya,” katanya.