SETIAP kali ke rangkaian restoran makanan segera, pasti kentang lenyek ada dalam senarai pesanan.
Ibarat tidak lengkap hidangan, tanpa menikmati menu enak dan mengenyangkan itu.
Memandangkan segelintir kita sudah jarang berkunjung ke beberapa restoran makanan segera bagi menzahirkan solidariti terhadap Palestin, apa kata cuba membuat sendiri kentang lenyek di rumah.
Cara penyediaannya cukup mudah dan ringkas dengan hanya menggunakan lima bahan sahaja.
Berikut adalah resepi ringkas yang dikongsikan restoran Beard Brothers BBQ.
Bahan-bahan:
-1 kilogram kentang
-200 gram mentega tanpa garam atau unsalted butter (biarkan lembut pada suhu bilik)
-20 mililiter krim masakan
-Garam (secukup rasa)
-Lada hitam (secukup rasa)
Cara penyediaan:
-Basuh kentang dan kemudian dipotong kiub.
-Rebuskan kentang sehingga lembut.
-Tapiskan air rebusan kentang.
-Potong mentega secara kiub dan masukkan dalam kentang panas bersama-sama
krim masakan.
-Tumbuk kentang dan adunkan sampai sebati.
-Perasakan dengan garam dan lada hitam. -UTUSAN