PETALING JAYA: Atlet gimrama negara, Ng Joe Ee memasang impian besar untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas sedar berdepan cabaran besar untuk meraih tiket ke Olimpik Paris 2024.
Joe Ee yang menikmati tahun gemilang selepas di menerima anugerah Olahragawati Kebangsaan 2022 dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2021/2022 berkata, sasaran Olimpik Los Angeles realistik untuk dirinya.
“Saya ditimpa kegagalan ketika berusaha meraih prestasi cemerlang di Kejohanan Gimnastik Berirama Dunia ke-40 di Valencia, Sepanyol dan itu antara faktor yang membuatkan laluan ke Olimpik Paris 2024 menjadi lebih sukar,” katanya.
Selain itu katanya, dia perlu mengekalkan prestasi terbaik sebagai momentum untuk ke Olimpik seterusnya termasuk meraih kejayaan di Kejohanan Gimnastik Asia dan Sukan SEA akan datang.
“Sasaran seterusnya adalah di Kejohanan Gimnastik Asia dengan sasaran berada dalam kedudukan lapan kelompok terbaik dan pada Sukan SEA 2025 saya meletakkan sasaran emas selepas meraih perak pada edisi di Vietnam,” katanya.
Ditanya tentang perancangannya, Joe Ee berkata, biarpun masih muda, dia turut bercita-cita untuk menjadi seorang jurulatih berjaya pada masa hadapan untuk memberi ilmu kepada generasi baharu demi mengekalkan legasi dalam sukan gimnastik.