PETALING JAYA: Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ditimpa kekalahan dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, hari ini.
Beregu No. 3 dunia itu tewas kepada pasangan No. 7 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 16-21, 21-14, 18-21 dalam perlawanan yang berlanjutan lebih sejam itu.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua beregu semakin melebar dengan gandingan lelaki No. 1 Malaysia itu kini ketinggalan 2-7.
Aaron-Wooi Yik yang turut diletakkan dalam kumpulan sama dengan dua beregu tuan rumah iaitu Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi tidak boleh lagi melakukan sebarang kesilapan untuk perlawanan berikut jika berhajat menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya.
Dalam aksi kedua, esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan gandingan No. 8 dunia, Yu Chen-Xuan Yi.
Berdasarkan rekod pertemuan, berpihak kepada pasangan China itu yang mencatat tiga kemenangan berbanding sekali yang dilakar beregu Malaysia tersebut.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, pasangan negara yang menghuni ranking ke-8 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut ditimpa kekalahan di tangan gandingan No. 4 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 10-21, 13-21 dalam masa 38 minit.
Seperti mana Aaron-Wooi Yik, Tang Jie-Ee Wei juga perlu memburu kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan A menentang pasangan No. 2 dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, esok.
Tang Jie-Ee Wei tidak pernah menang ke atas gandingan Jepun itu dengan rekod pertemuan berpihak kepada Watanabe-Higashino 2-0.
Jelajah Dunia Akhir BWF itu hanya menampilkan lapan beregu terbaik dunia bertarung secara round robin dengan empat pasangan diletakkan dalam setiap Kumpulan A dan B. – UTUSAN