JDT tetap bernafsu cipta kemenangan, mahu baham BG Pathum

JDT tetap bernafsu cipta kemenangan, mahu baham BG Pathum

PENYERANG JDT, ARIF Aiman Hanapi bersedia merobek gawang BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia 2023, petang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tetap bernafsu untuk mencipta kemenangan ketika menentang BG Pathum United pada saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), petang ini walaupun peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya sudah berkubur.

Katanya, JDT yang masih berada dalam ‘mood’ kemenangan selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 pada aksi final Piala Malaysia Jumaat lalu mahu membenam BG Pathum, sekali gus mengulangi kejayaan menang 4-2 ke atas kelab dari Thailand itu pada aksi 3 Oktober lalu.

“BG Pathum bukan lawan yang mudah kerana dibarisi pemain berkualiti, pasukan itu menghuni tangga kedua Liga Thailand dan hanya tewas sekali setelah mengharungi 12 perlawanan.

“Malangnya, untuk perlawanan ini saya tidak dapat menggunakan khidmat Corbin Ong dan Shane Lowry disebabkan kecederaan ketika aksi final Piala Malaysia, ini disebabkan kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang teruk ketika itu.

“Dalam masa sama, Shio Hong Wan juga tak dapat diturunkan selepas digantung satu perlawanan susulan mengumpul dua kad kuning. Justeru, saya terpaksa melakukan rombakan kecil dan kita mempunyai pemain yang mampu mengisi kekosongan itu,” katanya.

Sementara itu, penyerang berbisa, Arif Aiman Hanapi sedia menjadi pemusnah dalam perlawanan berkenaan dan tidak mahu peminat pulang dengan kekecewaan.

“Walaupun pertembungan ini tidak mengubah kedudukan JDT, namun kita tetap akan beraksi dengan sepenuh hati untuk mengutip tiga mata di laman sendiri dan tidak menghampakan penyokong yang hadir.

“BG Pathum merupakan sebuah pasukan yang bagus di Thailand dan kami akan beri 100 peratus komitmen di atas padang. Kita akan tetap bermotivasi untuk bermain dengan baik bagi mencipta kemenangan dalam kancah saingan ACL ini,” jelasnya.

Jika menang, JDT akan menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga, di belakang Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya