KEBANYAKAN wanita terutama ibu ‘liat’ menjalani pemeriksaan kesihatan kerana mereka cenderung meletakkan keperluan orang lain melebihi keperluan diri.
Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa
(IMU), Dr. G. Muralitharan berkata, pemikiran tersebut perlu segera diubah bagi mengelakkan mudarat
kesihatan jangka panjang.
Wanita katanya, perlu belajar mengutamakan diri dan menjadi pro-aktif tentang kesihatan mereka.
“Matlamat ujian saringan adalah untuk mengesan perubahan dalam badan sebelum ia menjadi tidak
terurus.
“Kebanyakan wanita beranggapan mereka sihat-sihat sahaja dan tiada keperluan membuat
pemeriksaan.
“Sedangkan dengan cara ini, golongan sasar berpeluang mengubah gaya hidup dan
mengelak penyakit tertentu,” katanya.
Muralitharan yang juga juga Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di IMU Healthcare menegaskan, pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan semasa seseorang dalam keadaan sihat.
Ia termasuk pemeriksaan tahunan sejurus mencapai usia dewasa, contohnya apabila mula bekerja diikuti dua kali dalam setahun selepas berumur 45 tahun.
Lebih daripada itu, badan akan melalui proses penuaan semula jadi dan matlamat utama adalah untuk menua secara sihat.
UJIAN SARINGAN UTAMA
Statistik penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol mencatatkan
peningkatan selama bertahun-tahun.
Muralitharan mencadangkan pemeriksaan kesihatan tahunan untuk semua orang dewasa yang sihat harus bermula dengan tekanan darah disusuli dengan ujian kiraan darah, glukosa darah dan indeks jisim badan (BMI).
“Ujian lain ialah lipid, fungsi buah pinggang dan profil hati,” katanya.
Seiring pertambahan usia, beliau turut mengesyorkan pemeriksaan mata tahunan, ujian pendengaran dan pemeriksaan pergigian,” katanya.
WASPADA JALANI UJIAN SARINGAN
Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan berhati-hati kerana ujian yang tidak perlu boleh menimbulkan rasa cemas.
Misalnya, ujian mamogram tahunan mungkin tidak perlu dilakukan kerana keputusan keabnormalan boleh mencapai sehingga 50 peratus, tetapi tidak semua menjadi kanser.
“Ujian saringan hanya munasabah jika ia diperlukan dan boleh meningkatkan kesihatan seseorang.
“Paling penting berkomunikasi dengan doktor dan berunding sama ada pemeriksaan kesihatan boleh memberi manfaat kepada diri anda berdasarkan usia, gaya hidup dan sejarah keluarga,” katanya.
UJIAN KHUSUS WANITA
Sementara antara ujian saringan penting untuk wanita ialah pap smear untuk memeriksa kanser serviks diikuti pemeriksaan payudara dan imbasan kepadatan mineral tulang untuk mengesan osteoporosis.
-Kanser serviks: Pemeriksaan tahunan sangat digalakkan. Sedikit sampel
tisu dari serviks akan diambil untuk ujian.
-Kanser payudara: Memandangkan kanser payudara boleh dirawat di peringkat awal, adalah penting bagi semua wanita untuk berdisiplin melakukan pemeriksaan kendiri payudara dan pemeriksaan tahunan.
-Osteoporosis: Dalam kalangan warga emas berumur 65 tahun ke atas, saringan hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun, mengikut garis panduan Malaysia.