“PERNAH sahaja bercakap macam ‘orang gila’ dengan ikan. Kadang-kadang saya habiskan masa selama dua jam berbual dengan ikan.
“Yalah, saya pelik tiba-tiba ikan tak nak bergerak, jadi saya pun pujuk supaya ia kembali aktif.”
Itu perkongsian mencuit hati seorang penggemar ikan Channa yang menjadikan spesis haruan itu sebagai hobi sejak berkahwin.
Nuraina Najihah Mohd. Sharin, 24 , yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan berkata, dirinya tertarik untuk membela ikan itu disebabkan keupayaan untuk berinteraksi bersama manusia.
“Kalau kita sentuh akuarium, ia akan ikut ke mana tangan kita. Kadang-kadang, selama dua jam lebih saya habiskan masa dengan ikan.
“Kalau balik rumah dari pukul 7 sampai 9 malam, saya akan ‘bercakap’ dengan ikan,” kongsinya yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan.
Bermula dari tiga ekor, ikan yang boleh membesar sehingga saiz 10 sentimeter yang dibelanya itu membiak menjadi 50 ekor.
Katanya, ikan-ikan yang dipelihara tidak boleh bercampur antara satu sama lain kerana merupakan kategori pemangsa.
“Sekarang penuh satu bilik saya bela ikan. Boleh nak campurkan sekali, tetapi perlu pastikan ada penghalang.
“Hobi ini sangat mudah sebab tak perlukan oksigen, cukup pakai akuarium, air bersih dan background,” kongsinya.
ELAK STRES
Disoal cabaran membela ikan air tawar itu, Nuraina berkata, kelemahan ikan ini adalah apabila bertukar persekitaran baharu.
“Ikan ini perlukan masa untuk menyesuaikan dengan tempat baharu. Berubah tempat ia akan stres sekejap.
“Tanda stres dapat dilihat kalau dia ‘parking’ maksudnya tak berapa aktif.
“Kalau ikan ini berada di tengah akuarium itu tandanya okay,” katanya.
MAKANAN
Kos makanan bagi penjagaan ikan ini tidak terlalu mahal berbanding ikan-ikan lain.
Katanya, bekalan makanan juga mudah didapati di kedai haiwan peliharaan dengan harga berpatutan.
“Saya bagi ikan makan cacing tanah, ulat, anak ikan, cengekerik dan katak.
“Kalau minat nak bela, untuk permulaan ada RM300 pun sudah mencukupi.
“Masa mula-mula buat bilik khas untuk ikan ini, saya habiskan RM8,000 sebab beli akuarium, pasir, rak, penutup, pam dan ikan,” katanya.
Kongsinya, harga ikan berkenaan bermula dari RM60 hingga puluhan ribu.
“Terpulang pada kita, asalnya saya bela sekadar hobi bersama suami, akhirnya kini jadi penjual,” katanya yang menggalakkan orang ramai mengikuti Facebook Channa Garage.