SEREMBAN: Semua pemilik anjing di daerah ini perlu menggunakan sebaiknya insentif yang disediakan kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi memandulkan haiwan peliharaan mereka itu bagi membantu tujuan mengawal populasi anjing liar di negeri ini.
Pengerusi Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, menerusi Program Insentif Pemandulan Anjing itu, MBS akan memberikan insentif sebanyak RM100 bagi menampung kos pemandulan anjing oleh pemilik anjing berlesen.
“Memang banyak aduan diterima berkaitan anjing liar dan sebab itu tindakan proaktif diambil dengan mewajibkan semua pemohon lesen pemeliharaan anjing perlu memandulkan haiwan yang dibela. Semua anjing liar yang ditangkap oleh kontraktor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu dimandulkan.
“Menerusi peruntukan yang disediakan, kerajaan negeri berharap ia digunakan dengan sebaiknya dan setakat ini semua pihak memberikan kerjasama yang baik.
“Setiap pemilik anjing berlesen, MBS akan memberikan insentif RM100 per ekor (maksimum dua ekor) dan kos pemandulan adalah sebanyak RM200 seekor jika dilakukan. Selain itu, dari segi penangkapan juga diberi insentif, jadi ada dua bayaran dapat daripada MBS,” katanya.
Mengulas lanjut, Arul Kumar berkata, aktiviti pemandulan anjing itu hanya boleh dilakukan di klinik yang diberi kebenaran sahaja.
“Untuk pastikan aktiviti itu dilaksanakan, bukti perlu disertakan. Pada tahun hadapan kerajaan negeri akan melihat cara dan kaedah lebih baik dan sesuai berhubung perkara tersebut.,” katanya.
Baru-baru ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, Arul Kumar berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan telah meluluskan untuk mewajibkan semua anjing yang ditangkap oleh kontraktor dan NGO di negeri ini untuk dimandulkan bagi menyelesaikan masalah anjing liar di negeri ini.-UTUSAN.