MERANTAU jauh di negara orang, adat dan budaya tidak sesekali dipinggirkan. Itu resmi yang dijunjung pemuda dan pemudi dari Vietnam yang mencari rezeki di Malaysia.
Dengan kesibukan masing-masing bekerja dalam pelbagai lapangan seperti teknologi maklumat dan perkhidmatan pelanggan di sektor swasta, sesekali mereka meluangkan masa bertemu untuk berlatih menari.
Tarian Mashup Bac Kim Thang antara seni yang dipelopori oleh sekumpulan tujuh penari berusia antara 20 hingga 35 tahun itu.
Mereka disatukan di bawah kelab pemuda, Persatuan Persahabatan Malaysia Vietnam (MVFA).
Ketua kelab itu, Nguyen Thi Hong Hanh, 30, berkata, Bac Kim Thang adalah gabungan tarian tradisional dan moden yang sangat popular di Vietnam.
Kebiasaannya, tarian ini diiringi lagu rancak, Bong Bong Bang Bang yang menggambarkan kisah dongeng menjunjung nilai tinggi persahabatan dan sifat murni orang dahulu kala.
“Dari segi pergerakan, ia disuntik dengan elemen moden. Ada pergerakan laju dan perlahan.
“Pergerakan perlahan seperti kita lakukan senam robik. Ada memek muka, berpusing dalam bulatan, lari setempat dan cekak pinggang,” katanya selepas membuat persembahan sempena Festival Hari Tanpa Tunai Ekstravaganza ASEAN di pusat beli belah LaLaport, baru-baru ini.
Festival selama empat hari itu menjadi platform dalam menonjolkan tradisi dan kebudayaan persatuan-persatuan yang bernaung di bawah ASEAN.
Dalam masa sama, ia dapat mempromosikan keunikan warisan, seni dan makanan termasuk dari pihak Kedutaan Thailand, Indonesia, Vietnam dan Timor-Leste.
SEJAK PANDEMIK
Idea mengadaptasi tarian itu di negara ini tercetus selepas pandemik Covid-19 melanda Malaysia, tiga tahun lalu.
Hong Hanh yang juga ketua penari berkata, mereka kerap bersua muka dan berlatih bersama ahli kelab jika ada kelapangan.
“Setiap sesi latihan atau raptai bagi mana-mana persembahan, selalunya akan dirakam dan daripada situ, kami dapat memperbaiki kelemahan serta memantapkan lagi keseragaman pergerakan.
“Melalui tarian ini juga, sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan kami pada kampung halaman,” katanya.
Sementara itu, seorang penari lelaki, Pham Ngoc Toan, 33, berkata, tiada jumlah spesifik yang diperlukan ketika mempersembahkan tarian tersebut.
Kongsinya, semakin ramai penari, maka bertambah meriah lagi tarian dengan kepelbagaian kostum yang berwarna-warni.
“Kalau di Vietnam, tarian ini dipersembahkan tanpa mengira peringkat umur.
“Kanak-kanak juga ramai berbakat dan lebih cekap menari berbanding kami,” katanya. -UTUSAN