Fauziah ketepi rasa sakit demi jaga suami

Fauziah ketepi rasa sakit demi jaga suami

FAUZIAH Husin melupakan penyakit saraf dan tulang dialami demi memberikan perhatian sepenuhnya terhadap Mat Nawi Rejab yang lumpuh akibat serangan angin ahmar. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Biarpun menderita penyakit saraf dan tulang, kesakitan itu sanggup diketepikan oleh seorang isteri di Taman Impian di sini demi menjaga suaminya yang terlantar akibat diserang angin ahmar sejak tujuh tahun lalu.

Meskipun diuji dengan penyakit tersebut yang membuatkan tangannya sentiasa kebas dan adakala tidak mampu memegang barang dengan sempurna, Fauziah Husin, 59, tetap menggagahkan dirinya kerana perlu menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap suami.

Selain itu, kesusahan dialami pasangan berkenaan membuatkan wanita tabah tersebut terpaksa melupakan hasrat merawat penyakit dialaminya kerana tidak mampu menyediakan kos rawatan diperlukan mencecah hampir RM10,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fauziah berkata, walaupun doktor pernah mencadangkan agar dia menjalani pembedahan saraf, hasrat itu terpaksa ditangguhkan demi kasih sayangnya terhadap suaminya, Mat Nawi Rejab, 67.

“Saya sakit saraf sudah lama, puncanya akibat terjatuh daripada tangga menyebabkan tulang belakang bengkok dan rapat, jadi ia sakit dan tidak dapat tidur pada waktu malam. Doktor sarankan saya menjalani pembedahan.

“Sejak suami sakit, saya pun berhenti buat rawatan, setiap kali apabila terasa sakit saya buat tidak tahu dan hanya membeli ubat di farmasi. Saya juga ada masalah untuk ke hospital Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana terpaksa tinggal suami lebih lama di rumah, ” kata wanita itu ketika ditemui di rumahnya di Taman Impian di sini semalam.

Berkongsi kisah suaminya yang sudah hilang keupayaan bergerak, Fauziah berkata, Mat Nawi mengalami serangan angin ahmar pada 2017 dan berada di HTAA selama dua minggu sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, akibat serangan penyakit terbabit, percakapan suaminya juga terganggu, selain perlu berkerusi roda kerana kaki dan tangannya tidak boleh bergerak.

“Suami juga menghidap darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi serta perlu mengambil pelbagai jenis ubat setiap hari. Jadi, saya terpaksa berhenti kerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Keputusan itu berat kerana saya hilang punca pendapatan sepenuhnya tapi demi suami, saya reda berkorban.

“Saya bersyukur sebab semua urusan terutama makan dan minum dapat saya uruskan dengan baik termasuk membersihkan badan serta menyalin lampin pakai buangnya,” katanya yang tidak mempunyai anak.

Ditanya tentang perbelanjaan bulanan, Fauziah berkata, kelangsungan hidup mereka berdua bergantung sepenuhnya bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sebanyak RM900 sebulan.

Katanya, wang bantuan tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah, menyelesaikan bil utiliti dan bakinya, membeli barang keperluan seperti lampin pakai buang suami.

Fauziah juga memerlukan bantuan kerusi roda baharu memandangkan kerusi sedia ada sering rosak. Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan terhadap keluarga itu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 156093979359 (Fauziah Husin). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya