Dibenci mentua kerana lahir anak autisme

Dibenci mentua kerana lahir anak autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak mudah bagi ibu bapa melalui proses membesarkan anak istimewa. Beruntung jika ada ahli keluarga sentiasa menyokong dan memberi aura positif. Sebaliknya, jadi seksa apabila ada yang memandang rendah dan asyik mencari punca.

Minggu ini saya kongsikan kisah Nazleen (bukan nama sebenar), ibu yang diuji memiliki anak autisme.

Dianugerahkan anak autisme dan dibenci pula ibu mentua antara detik ujian dalam hidupnya bagi melihat sejauh mana dia bersangka baik terhadap ketentuan Allah SWT.

Bercerita lanjut dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini kata Nazreen, perjalanan hidupnya tidak selancar orang lain.

Lewat mendapat jodoh, bukan pula menantu pilihan. Dua tahun menunggu kelahiran cahaya mata, dikurniakan pula anak autisme.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya. Sedih sangat-sangat, namun saya selalu mengingatkan diri sendiri untuk sentiasa yakin Allah tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuan.

“Saya percaya, saya mampu melaluinya,” ujarnya penuh bermakna.

Sepanjang tempoh membesarkan Lya (bukan nama sebenar), pelbagai ujian dan cabaran terpaksa dilalui terutama penerimaan daripada keluarga mentua.

“Saya tidak terlalu kisahkan pandangan masyarakat, tetapi apa yang menyedihkan apabila keluarga sendiri terutama ibu mentua tidak boleh menerima anak syurga saya,” ujar wanita kelahiran Muar, Johor itu.

Menurut Nazleen, awalnya dia tidak sekuat mana menerima ujian bertimpa itu.

Bagaimanapun, suami, Amirul (bukan nama sebenar) sentiasa ada bersama melalui detik-detik yang menguji kesabarannya.

Sebab itu, kata Nazleen, sehingga ke hari ini dia masih kuat berdiri menjaga Lya walaupun masih dipandang hina keluarga mentua.

Sambung Nazleen lagi, dia berkahwin dengan Amirul atas suka sama suka, Bagaimanapun perkahwinan itu tidak direstui ibu suami.

Di depan Amirul, Nazleen dilayan seperti menantu, tetapi di belakang anak lelakinya, hanya Allah yang tahu.

Kata Nazleen, berada dalam posisi di mana kehadiran tidak disenangi bukanlah sesuatu yang mudah baginya bergelar menantu.

Meskipun suami menyayangi, namun tidak seronok andai ibu mentua sendiri tidak menyukai. Tetapi itulah situasi yang perlu dihadapi

Nazleen sejak hari pertama bergelar isteri sehingga 14 tahun berumahtangga.

Kemuncak kebencian ibu mentua adalah apabila Lya disahkan autisme.

Sejak itu, ibu mentua sering mencemuh dan menghina, bagai peluru dia diserang. Nazleen dikatakan menjadi punca melahirkan anak autisme.

Kata Nazleen, kalau dahulu dia sahaja dibenci ibu mentua, tetapi bila ada Lya, anak syurganya itu juga terpalit sama.

Lebih-lebih lagi apabila Nazleen mengambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada Lya.

Kebencian ibu mentua terhadap mereka tidak sekadar hinaan, malah sanggup mengatur strategi menjodohkan Amirul dengan wanita pilihan.

“Berkali-kali ibu mentua memujuk Amirul, namun ditolak suami dengan cara baik,’’ cerita Nazleen lagi.

Berkongsi cerita pada awal mendapat tahu anaknya itu autisme kata Nazleen, ia dikesan semasa Lya memasuki usia tiga tahun.

Lya masih tidak boleh menyebut atau memanggil mama atau papa. Bertambah panik apabila sepupu sebayanya semakin lincah berbanding Lya yang hanya duduk diam.

Lya juga tidak suka makanan lain kecuali ayam goreng.

Bila diberi mainan, Lya hanya memerhatikan sahaja. Meningkat usia tiga tahun, baru Nazleen sedar kelainan pada diri Lya. Tanpa berlengah,

Nazleen dan suami membawa anak mereka berjumpa doktor.

Hancur hati apabila doktor pakar mengesahkan Lya mempunyai ciri-ciri anak autisme.

Kata Nazreen, membesarkan anak autisme bukan sesuatu yang mudah. Hanya ibu bapa yang senasib akan memahami .

“Sebagai ibu bapa kepada anak istimewa seperti Lya, kami sentiasa berusaha memberi yang terbaik untuk anak syurga kami,” ujarnys.

Nazleen menitip nasihat kepada ibu bapa yang sedang melalui fasa ini agar tidak terus menyerah kalah apalagi menyalahkan takdir.

Menurut Nazleen, usia Lya kini memasuki 12 tahun. Sebagai ibu dia sangat bersyukur kerana Lya semakin menunjukkan perkembangan baik.

Biarpun perkembangannya tidak sebesar mana dibandingkan dengan rakan rakan sebaya, tetapi sudah cukup baik untuk kanak-kanak sepertinya.

Kata Nazleen, dia dan suami tidak sendirian membesarkan Lya. Kumpulan sokongan sangat membantu dalam memastikan anak syurga mereka memperoleh ilmu dan tindakan awal.

Sejujurnya dia tidak layak untuk berkongsi pengalaman dengan ibu bapa senasib.

Namun, katanya, jika tidak dikurniakan anak istimewa seperti Lya, tidak mungkin dia menjadi orang yang penyabar.

Bukan mudah menguruskan anak istimewa. Fizikal dan mental kena kuat terutama apabila anak-anak meragam, mengamuk tak kira tempat serta masa.

“Selalu ingat, anak-anak adalah amanah, tidak kira siapa pun mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Sesungguhnya sama ada perkara baik atau buruk itu adalah hasil daripada kehendak Allah. Sebagai hambaNya, kita mesti beriman dengan qada, baik atau buruk, nikmat atau musibah sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: Bahawa (mesti) beriman kepada qadarNya yang baik atau yang buruk. (Hadis Riwayat Al Bukhari & Muslim). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya