Bukan sengaja nak peram filem sampai lapan tahun - Aaron Aziz

Bukan sengaja nak peram filem sampai lapan tahun – Aaron Aziz

aaron aziz
Aaron Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah dan pelakon, Datuk Aaron Aziz mengakui, filem Sayu Yang Syukur (SYS) baru sahaja berpeluang untuk ditayangkan pada 28 Disember ini biarpun karya tersebut telah dimulakan penggambarannya pada tahun 2015.

Menurut Aaron, perkara itu bukan disengajakan kerana dalam tempoh lapan tahun ini, pelbagai halangan terpaksa dilalui oleh seluruh produksi filem itu termasuk tiga tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan gara-gara wabak Covid-19.

“Bukan satu hal yang disengajakan. Kami memang sudah rancang nak keluarkan filem ini pada tarikh yang dirasakan sesuai, tetapi banyak pula halangan berlaku termasuk Covid-19.

“Selain itu, kami juga mengambil masa yang agak lama untuk proses suntingan sebab versi yang asal sebenarnya, lebih panjang lagi. Saya pula mahu memastikan hasil akhir dalam keadaan terbaik, jadi memang fokus itu diberikan lebih.

“Pada masa yang sama, apabila dah sedia nak keluarkan, kita tengok ada banyak pula genre filem lebih kurang sama dan kami buat keputusan untuk tunggu dulu sebab tak nak kacau pasaran,”katanya.

Aaron berkata demikian semasa ditemui pada majlis tayangan perdana filem SYS yang diadakan di ibu negara, kelmarin.

Selain itu, ketika ditanya mengenai cabaran lain memandangkan dia turut menggalas dua tanggungjawab dalam satu masa, kata Aaron, dia telah mencuba sehabis baik bagi memastikan perjalanan keseluruhan filem berlangsung dalam keadaan sempurna.

Kurang tidur

Bagaimanapun, untuk filem ini kata Aaron, dia mengakui kurang tidur selain amat jarang bertemu dengan keluarga.

“Banyak cabaran sebagai pengarah, termasuk perlu berlakon dan menjaga set penggambaran.

“Bayangkan, sepanjang 60 hari penggambaran, saya dalam keadaan tertekan, tidak cukup tidur malah tidak dapat bertemu anak-anak,” katanya.

Tambah Aaron lagi, watak Qudaim yang dibawanya juga antara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

“Watak ‘gila’ Qudaim saya tambah sendiri sebab saya sebagai pengarah boleh mengolah skrip sebab mahu tunjukkan kelainan agar jalan ceritanya berbeza.

“Saya sudah berlakon dalam banyak filem dan drama romantik. Jadi saya mahu beri kelainan tanpa terlalu memfokuskan suasana romantis terlalu banyak.Dalam filem ini, 90 peratus babak dramatik dan selebihnya sahaja romantik,” jelasnya.

Filem ini mengisahkan tentang Liana yang dilakonkan Nora Danish terlibat dalam kemalangan semasa pulang ke kampung dan ditemui Qudaim (Aaron).

Pertemuan tersebut menjadi satu permulaan baharu buat Liana apabila maruahnya tercalar sekali gus bimbang sekiranya nama baik keluarganya turut terjejas.

Selain Aaron, Sayu Yang Syukur ini turut dibintangi Nora Danish, Arja Lee, Fairi Khalil, Datuk Ahmad Tamim Siregar, Raja Emma dan ramai lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya