Bukan mudah ubah minda usahawan wanita

Bukan mudah ubah minda usahawan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDEDIKASI dan memiliki misi yang jelas untuk memartabatkan kaum wanita dalam arena keusahawanan.

Itu pegangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Usanita Sdn. Bhd., Datin Seri Adzliana Hasan yang pernah merangkul Anugerah Wanita Berjaya di The CEO Award 2022.

Mengimbas semula kenangan bagaimana platform Usanita.com ditubuhkan, wanita ini berkata, idea tercetus ketika sesi sembang kopi bersama rakan-rakan rapat lain, semasa pandemik Covid-19.

Ketika itu, katanya, banyak premis perniagaan terpaksa ditutup sehingga ada terpaksa gulung tikar.

“Jadi, kami terfikir bagaimana dapat mengumpulkan usahawan-usahawan wanita ini supaya semangat mereka tidak luntur.

“Ada yang hilang pekerjaan serta tiada motivasi dalam hidup, jadi kami berasa terpanggil sehingga Usanita.Com ditubuhkan,” katanya kepada Seri.

Siapa sangka platform berkenaan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, sebaliknya bertahan sehingga hari ini.

Platform yang memfokuskan usaha memperkasakan wanita itu berjaya melahirkan 3,000 usahawan yang bernaung di bawah kendalian srikandi ini.

Banyak produk dan jenama berasaskan makanan, pakaian dan kosmetik berjaya dikomersialkan menerusi penyertaan berkenaan.

“Antara pilot project yang kita buat ialah pencarian Nona Superwoman yang mendapat 800 penyertaan dan hanya 12 terbaik dipilih di peringkat akhir.

“Program yang disiarkan di televsiyen semasa Covid-19 itu mensasarkan penyertaan wanita daripada kelompok B40, mereka yang dibuang kerja, bisnes gagal serta pendapatan di bawah RM3,000.

“Alhamdulillah, ramai wanita bagi maklum balas baik serta menjadi perintis dalam Usanita.com,” ujarnya.

Wajahnya terpampang di papan-papan iklan besar supaya perintis Usanita mengenali sosok ini dengan lebih mudah.

Pada masa sama, ia juga sebagai strategi penjenamaan supaya orang ramai tidak keliru dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempunyai nama hampir sama.

“Ada sebab kenapa guna wajah saya. Kita tak mahu orang ramai keliru antara Usanita dan Usahanita. Sebab itu, bagi tujuan penjenamaan, memang ada wajah saya serta rakan strategik, Datuk Rosyam Nor.

“Wajah yang terpampang juga adalah usaha menarik lebih ramai orang mengetahui tentang Usanita,” jelasnya.

SUNTIK MOTIVASI
Melalui sesi perkongsian ilmu seperti bootcamp bersama mentor, usahawan berjaya dan selebriti jemputan, Adzliana tidak lokek berkongsi ilmu.

Wanita ini sentiasa memberi galakan kepada peniaga wanita supaya menjadi kreatif dan inovatif dalam perniagaan.

Kongsinya, usahawan wanita sering berdepan cabaran penjenamaan dan pendigitalan sekaligus membantutkan perniagaan mereka.

“Jangan hanya nampak satu benda sahaja. Kalau barang tak laku cuba tukar cara lain. Letak produk di kedai serbaneka atau pasar raya.

“Sasarkan jualan di pasar raya yang menjual barangan murah berdekatan rumah.

“Contohnya, kalau buat kek. Kalau susah sangat jual di kedai, cuba jalinkan kerjasama dengan butik perkahwinan,” kongsinya.

PERANG CABARAN
Berperang dengan persepsi orang ramai antara cabaran paling sukar dihadapi wanita ini.

Katanya, seolah-olah Usanita.com sudah dicop sebagai platform yang memberikan pinjaman perniagaan kepada usahawan wanita.

Sedangkan, katanya, platform itu adalah pemudah cara yang membantu usahawan wanita berhubung dengan rangkaian komuniti lain demi memajukan perniagaan mereka.

“Kita adalah sebuah syarikat. Bukan agensi kerajaan yang memberikan dana pinjaman.

“Ramai salah faham usaha kami selama ini. Jadi, menjadi tugas kami untuk mendidik mereka tentang platform ini yang menguruskan program bersama rakan strategik lain,” katanya.

Bertindak sebagai mentor perniagaan, beliau juga mengakui bukan mudah mengubah mindset usahawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan.

“Tak semua mempunyai pendidikan yang sama, tak semua yang faham. Jadi, apabila duduk di bawah komuniti ini, saya perlu bijak menguruskan set pemikiran dan kelaku mereka.

“Saya perlu mendidik dan sinergi pemikiran mereka supaya mempunyai visi jelas dalam perniagaan,” katanya.

DARAH USAHAWAN
Ternyata wanita ini penuh karisma dan bersemangat ketika bercerita tentang di sebalik tabir kejayaan dirinya.

Melihat keaktifannya sehingga berjaya melahirkan ribuan usahawan wanita, membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana wanita ini boleh menjadi mentor sehebat ini.

Pengalaman bekerja dengan ahli keluarga sendiri sebenarnya banyak membentuk keperibadiannya sendiri.

Tiada jalan pintas melainkan usaha sendiri tanpa mengenal erti jemu walaupun bekerja dengan empayar niaga milik keluarga sendiri.

“Selepas bergraduasi, saya teringin bekerja di bank, sektor korporat atau syarikat yang disenaraikan bawah Bursa Malaysia.

“Arwah ayah memang berkeras tak bagi sebab suruh saya bekerja sepejabat. Saya akur sahaja permintaan itu. Ingatkan jadi pegawai rupanya sebagai kerani syarikat kawalan keselamatan.

“Saya bermula dari bawah dan perlu faham semua urusan berkaitan syarikat, terutamanya melibatkan senarai semak pembekalan dengan pihak kementerian dan jabatan kerajaan,” tuturnya.

Walaupun syarikat yang membekalkan perkhidmatan kawalan keselamatan kepada sektor pembinaan melibatkan pekerja asing merupakan kepunyaan bapanya sendiri, tiada istilah ‘goyang kaki ‘ atau dilayan seperti anak emas.

Anak keempat daripada lima beradik ini bekerja sama seperti pekerja lain kerana tiada tiket mudah buatnya hidup bersenang-lenang.

“Di rumah beliau adalah ayah, di pejabat beliau adalah bos saya.

“Ayah suruh belajar benda paling asas dalam perniagaan. Bagaimana berurusan dengan klien dan apabila banyak benda saya sudah kuasai, baru saya ditugaskan di bahagian pemasaran.

“Sejak itu, saya mula bertemu klien dan mendapat komisen hasil projek yang berjaya,” katanya.

BUKA BUTIK
Hampir setahun menimba pengalaman dan bekerja dengan bapa sendiri, ibu seorang anak ini masih menguruskan empayar perniagaan

keluarga sendiri walaupun sibuk dengan perniagaan lain.

Kongsinya, minat terhadap bidang kecantikan membuatkan dirinya membuka butik perkahwinan dan pusat dandanan rambut sendiri.

“Asalnya buka secara kecil-kecilan selepas dua tahun bekerja dengan arwah ayah. Umur masa itu dalam lingkungan 26 tahun.

“Masa itu, kedai dandanan rambut di bahagian bawah dan butik perkahwinan di tingkat atas. Alhamdulillah, butik masih ada dan bertahan selama tujuh tahun sehingga hari ini,” kongsinya.

Disoal modal memulakan bisnes berkenaan, Adzliana atau lebih mesra disapa Nana menegaskan semuanya digunakan hasil usaha sendiri.

“Saya buka butik dan salon menggunakan duit sendiri, bukan duit keluarga.

“Hasil komisen yang diperoleh semasa bekerja dengan arwah ayah, saya gunakan sebaiknya bagi bisnes ini,” katanya.

 

SUKA MASAK, MENEMBAK
Kesibukan mengendalikan perniagaan, tidak menghalang Adzliana meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

Beliau sudah menerapkan disiplin hanya akan bekerja sehingga pukul 6 petang sebelum pulang ke rumah dan memasak untuk suami tercinta.

Katanya, rutin itu juga mendidik dirinya supaya menstruktur dan memperuntukkan masa berkualiti bersama ahli keluarga.

“Suami saya memang suka makan di rumah. Jadi, saya akan pastikan dapat pulang awal ke rumah dan memasak.

“Kalau ada penggambaran di Terengganu, saya akan pastikan beli tiket penerbangan dan pulang bermalam di rumah. Memang itu amalan yang sudah kami berdua persetujui.

“Melainkan kalau suami ada majlis makan malam di luar, barulah saya tak masak,” katanya.

Ditanya lauk kegemaran suami, kongsi wanita ini, ikan adalah menu wajib yang perlu ada di dapur kerana jarang memilih ayam atau daging sebagai menu pilihan.

Selain makan malam, beliau juga akan memastikan sarapan dapat dihidangkan kepada suami sebelum masing-masing pergi bekerja.

“Saya masak ringkas sahaja. Mujur suami juga bukan seorang cerewet. Setiap hari mesti ada lauk ikan, tak kisahlah ikan kembung ke, cencaru, sardin pun selalu juga.

“Kadang-kadang masak gulai, singgang atau menu masakan lain, yang penting mesti ikan. Ayam atau daging itu masak sekali-sekala,” katanya.

Wanita ini bersyukur kerana dapat menguruskan masa dengan baik ketika usianya baru menjengah 41, lebih-lebih lagi anak tunggalnya tinggal di asrama.

Selain memasak, wanita yang kelihatan lembut secara luaran ini sebenarnya suka menembak.

“Bagi saya ia adalah hobi yang bagus sebab melatih kita untuk fokus terhadap sesuatu perkara.

“Golongan wanita juga belum ramai berada dalam lapangan ini melainkan anggota polis. Kalau pergi padang sasar, jumlah mereka boleh dikira dengan jari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya