JERANTUT: Dalam usaha menarik pelanggan singgah di Restoran Tahan Corner di sini, pengusahanya, Jamarizan Basri, 46, mempunyai cara tersendiri dengan menyediakan bufet makanan atas ‘Perahu Tembeling’ kepada pengunjung sebelum memasuki Taman Negara Kuala Tahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jamarizan berkata, dia menawarkan Bufet Perahu Tembeling untuk memberikan keselesaan buat pengunjung selain menikmati sajian di restoran terapungnya berdekatan pintu masuk taman negara itu.
“Kebiasaannya pengunjung memilih pakej berkelah sambil menikmati makanan atas perahu di beberapa lokasi Sungai Tembeling dan Sungai Tahan yang cetek di bawah teduhan pokok hutan tropika.
“Saya menyajikan makanan berasaskan ikan liar Sungai Tembeling termasuk ikan patin sangkar dan campuran asam tempoyak, sayur dan ulam-ulaman serta buah-buahan antara makanan tempatan di sini,” katanya ketika ditemui di Kuala Tahan, di sini semalam.
Jamarizan yang sudah 20 tahun mengusahakan perniagaan Restoran Terapung Tahan Corner berkata, pelawat domestik secara berkumpulan atau keluarga lebih gemar dengan aktiviti berkelah menikmati keindahan hutan tropika taman peranginan tersebut sambil mereka dapat menjamu selera di tepi sungai atau dalam air.
“Saya menyediakan pakej Bufet Perahu Tembeling dengan menawarkan harga RM30 seorang, manakala sajian di restoran terapung cuma dikenakan RM20 seorang.
“Ada pengunjung domestik secara berkumpulan yang juga gemar melawat menikmati keindahan hutan tropika dengan menyusuri Sungai Tembeling dan Sungai Tahan dengan menaiki bot penambang muatan 12 penumpang dan enam penumpang.
“Pengunjung kemudiannya turun ke sungai untuk berkelah dan menikmati bufet Perahu Tembeling beramai-ramai,” katanya.
Ujarnya, layanan kepada pengunjung menerusi pakej lawatan dan bufet Perahu Tembeling antara promosi untuk tarikan pelawat ke Taman Negara di samping mengekalkan warisan penduduk Melayu dahulu yang berperahu pergi berkelah dan menjamu selera di tepi sungai.-UTUSAN