“KERJA Zakat? Bolehlah minta duit,” itu reaksi biasa diterima Rapizah Muhammad Sharif bila orang bertanya mengenai pekerjaannya.
Ketua Pegawai Kewangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu berkata, tiada yang pelik dengan reaksi berkenaan, sebaliknya menganggap ia sebagai sekadar gurauan.
Sebaliknya bersyukur kerana belum pernah mengalami apa yang dilalui kakitangannya yang lain seperti dimarahi penerima atau pemohon sebab lambat terima zakat atau permohonan belum diluluskan.
“Fungsi institusi ini, membantu mereka yang memerlukan. Bagaimanapun, tanggungjawab mengagihkan zakat secara telus adalah amanah yang tidak boleh dipandang remeh. Sebelum
bantuan disalurkan, kena tahu tahap keperluan pemohon bantuan. Bayangkan amanah ini jika tidak dipegang dengan jujur, akan ditanya kelak di akhirat.
“Wang terkumpul daripada pembayar zakat diagihkan secara adil. Justeru, struktur takbir urus kita perlu kukuh bagi meraih kepercayaan pembayar zakat dan pemegang taruh lain. Kalau ada yang marah, kena hadap dengan sabar. Sebaiknya berikan penerangan jelas, supaya tidak timbul sebarang salah faham,”
katanya kepada Seri.
Beliau ditemui pada Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 Grand Finale anjuran Perbadanan
Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.
Program berkenaan merangkumi pameran dan menampilkan barisan penceramah terkemuka dalam pelbagai industri, berkongsi pengalaman dalam dunia digital.
Rapizah, 49, yang menyertai LZS sejak tujuh tahun lalu, bertanggungjawab menjaga kewangan institusi kewangan Islam itu termasuk dana hasil kutipan zakat, mengagihkan zakat kepada asnaf memerlukan, perbelanjaan amil dan kos operasi.
Tahun lepas, portfolio beliau bertambah apabila diberi kepercayaan menyelia bahagian teknologi maklumat (IT) pula.
“Saya terpilih untuk bercakap mengenai digital sempena MDX 2023 untuk berkongsi pengalaman LZS dalam penggunaan teknologi digital.
“Sebelum ini memang saya tidak pernah ada pengalaman dalam IT. Tapi LZS ada pakar IT yang membantu saya. Penggunaan teknologi digital lebih untuk kegunaan komunikasi. Teknologi digital turut memainkan peranan penting kepada LZS terutama ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, di mana kita memang perlu mengubah cara bekerja.
“Disebabkan itulah pada 2020 LZS memperkenalkan digital kepada pembayar zakat,” katanya.
Bayar zakat secara dalam talian, menjadikan ia lebih mudah berikutan LZS berdepan cabaran dalam membuat agihan secara berkesan, lebih penting asnaf yang memerlukan bantuan untuk beli susu anak dan keperluan lain ketika keputusan wang ringgit.
“Kalau guna cara lama, kita takkan dapat menyantuni mereka. Kalau digital boleh menolong,
hari ini mohon, hari ini juga boleh dapat wang tunai dan masukkan dalam akaun bank mereka,” katanya.
Tambah ibu kepada seorang anak remaja ini, Selangor adalah negeri membangun.
Setengah daripada sembilan daerah di negeri itu adalah berstatus bandar.
Namun walaupun berstatus bandar dan secara luaran mereka nampak mewah. sebenarnya ada yang miskin. Ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan disebabkan pandemik.
“Sekarang LZS mengambil strategi tidak hanya letak ikan atau makanan di atas meja. Sebaliknya
kita mengajar bagaimana meraih pendapatan. LZS ada program yang menukar status asnaf kepada pembayar zakat. Bagi tujuan itu, kita buat profil untuk asnaf. Jadi, boleh tahu yang mana ada
potensi untuk maju. Mana yang boleh bekerja, kita salurkan dalam bidang pekerjaan. Ada yang profesional tapi tiada kerja. Kami cuba bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan.
“Dalam menjalankan tanggungjawab diberikan, kita perlu berbalik kepada prinsip yang kita pegang, apa tugas utama kita? Bagi saasaran utama adalah untuk ummah. Apa yang kita buat ini adalah untuk bekalan di akhirat nanti. Jadi, selagi berpegang kepada prinsip itu, apa yang kita buat akan diberkatiNya,” katanya.
Rapizah yang berkelulusan bidang perakaunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pernah memegang jawatan sebagai auditor di awal kerjayanya.
Beliau pernah bekerja dalam bidang pemasaran. Anak jati Selangor ini turut mempunyai lebih 20 tahun pengalaman kerja dengan beberapa syarikat korporat dan multi nasional.
Namun katanya dia terpanggil untuk bekerja di LZS untuk menyumbangkan kepakarannya kepada masyarakat.
Langkahnya memohon jawatan di LZS, tepat dengan keinginannya mencari pekerjaan yang boleh dijadikan bekalan di akhirat kelak.
Ujarnya bekerja di institusi Islam itu memang berbeza dengan syarikat korporat yang disertainya sebelum ini.
“Saya dapat merasakan kekuatan dan tenaga memacu diri untuk berjaya alam kerja yang dimonopoli golongan lelaki itu. Bagaimanapun, setakat ini saya tidak berdepan masalah gender. Tambahan pula pada masa kini, jumlah pekerja lelaki dan wanita adalah seimbang,” katanya.
SEKAT GEJALA SOSIAL
Berjawatan tinggi, tidak bermakna Rapizah hanya bekerja di pejabat saja. Ada masanya beliau turut menyertai kakitangan lain turun padang ke rumah-rumah asnaf.
Paling tidak boleh dilupakan saat menyantuni keluarga asnaf yang kehilangan ketua keluarga akibat kemalangan jalanraya.
“Mangsa kemalangan itu juga adalah kakitangan LZS. Kebetulan kejadian yang meragut nyawa
mangsa itu berlaku di depan mata saya. Ketika itu mangsa hendak pergi ke masjid untuk solat Jumaat dengan menaiki motosikal. Malangnya motosikal mangsa bertembung dengan motosikal lain. Saya terkejut bila nampak darah mengalir dari kepada mangsa yang meninggal di tempat kejadian.
“Mangsa yang masih muda adalah satu-satunya sumber pendapatan utama keluarga. Isteri tidak bekerja dan tiga anak masih kecil. Masa di hospital, saya tidak tahu macam mana nak sampaikan berita kematian suaminya. Masa itu, dia hanya tahu suaminya terbabit kemalangan jalanraya,” katanya.
Tambah Rapizah, ada satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika turun padang ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sekitar Selangor.
Beliau terkejut dan sedih dengan pergaulan bebas remaja di PPRT berkenaan yang berpunca
daripada rumah kecil dan ibu bapa pula tiada di rumah kerana bekerja.
“Saya sedih sebab generasi ini akan mewarisi masa depan kita. Bagi saya, setiap orang memainkan peranan penting memastikan mereka diberi bimbingan. Inilah yang membuatkan LZS terpanggil untuk mendekati mereka. Bertitik tolak daripada situ, kami membina pusat komuniti di PPR dan PPRT.
“Pusat ini membolehkan remaja dan kanak-kanak mengisi masa dengan lebih bermanfaat selepas
waktu sekolah. Mereka boleh ke pusat komuniti ini yang menyediakan sesi mengaji, tuisyen dan rekreasi santai. Sekurang-kurangnya masa mereka terisi dengan aktiviti lebih berfaedah dan menyihatkan,” katanya.
Pusat komuniti itu terbuka dan turut menerima remaja bukan Islam.
Ada tiga pusat komuniti berkenaan iaitu di Sunway Mentari, Puchong dan Sabak Bernam yang dibuka sejak 2019.
Ia turut terbuka kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain untuk bekerjasama dengan LZS.
SUSAH DORONG KEJAYAAN
“Saya tidak datang dari keluarga kaya. Bapa pemandu lori hospital dan ibu juga bekerja di hospital sama. Saya anak keempat daripada enam beradik.
Saya sangat berdikari kerana mak juga bekerja. Balik rumah kenalah pandai-pandai cari makan sendiri. Telur goreng pun cukup. Waktu malam dapat makan sedap sikit sebab mak balik pukul lima petang dan masak,” katanya.
Bercerita mengenai rahsia kejayaan dalam kerjaya, Rapizah mengakui kejayaan dicapai, hasil daripada rezeki pemberian Allah, diiringi kerja keras.
“Saya berazam meraih ilmu setinggi boleh untuk menukar status hidup dan keluarga.
“Saya hendak membalas jasa orang tua. Sekarang semua yang kita hendak, dapat tapi semua ini datang dengan kesungguhan. Saya pesan pada diri dan anak-anak supaya sentiasa merendah diri terutama kepada orang yang lebih tua daripada kita dan sentiasa bersyukur,” katanya.
Walapun sibuk dengan tugasan harian, Rapizah gemar melakukan aktiviti luar di hujung minggu. Beliau lebih senang berbasikal bersama rakan-rakan.
Bagi Rapizah berbasikal dalam kumpulan besar berisiko menyebabkan kemalangan.
Apa yang penting, beliau hanya ingin melegakan tekanan dan mengeluarkan peluh.
“Kadang-kadang saya berbasikal di tengah bandaraya Kuala Lumpur pada hujung minggu sempena Hari Bebas Kenderaan. Ada masanya saya bersenam dengan berjalan pantas atau mendaki bukit di Kemensah atau Bukit Sri Bintang. Kalau boleh saya elakkan beraktiviti lasak yang memenatkan.
“Jadi, pada malam Ahad, saya sudah bersedia secara fizikal dan mental untuk bekerja dan tidaklah keletihan sehingga menganggu prestasi. Paling minimum pun, saya melakukan yoga saja di rumah. Saya cuba kekal aktif, sebagai salah satu cara melegakan tekanan kerja,” katanya.
ANAK TUNGGAL, KAWAN BAIK
SIBUK bekerja, tidak menghalang Rapizah menjalankan tanggungjawab sebagai ibu kepada satu-satunya permata hati beliau, Sarah Sazwany.
Katanya, masa Sarah di sekolah rendah, waktu itu cukup mencabar lantaran perlu mengutamakan masa bersama.
“Pada masa sama, kerja pun penting juga. Bila anak mula masuk sekolah menengah, lega sedikit kerana anak masuk sekolah asrama. Bagaimanapun, kalau boleh setiap minggu saya pastikan melawat anak,” katanya berkongsi cerita.
Ujarnya Covid-19 memberikan hikmah tersendiri buat mereka berdua apabila sama-sama berada di rumah.
“Sarah belajar dari rumah, manakala saya bekerja dari rumah juga.
“Jadi, kami dapat meluangkan banyak masa bersama. Ia menjadikan hubungan kami lebih erat,” katanya
yang turut menyifatkan mereka dua beranak akrab bagaikan kawan baik.
Sarah yang kini melanjutkan pengajian dalam Kejuruteraan Kimia di pusat pengajian tinggi awam,
tidak lama lagi akan bergelar graduan selepas pengajiannya berakhir Disember ini. –UTUSAN