ISKANDAR PUTERI: Bagi meraikan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi Liga Super tempoh sedekad, penyokong Boys Of Straits (B.O.S) akan mengibarkan 10 tifo pada aksi terakhir liga Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.
Menurut jurucakapnya, Farween Johar, 35, kesemua tifo berkenaan akan dipamerkan di sepanjang perlawanan berlangsung sebagai simbolik meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu muncul juara Liga Super selama 10 musim berturut-turut.
“Kami akan naikkan 10 tifo ini pada perlawanan petang ini, agak mencabar kerana kesemua tifo itu bersaiz besar dan kita akan cuba untuk memastikan kesemua tifo dapat dinaikkan.
“Ini adalah cara kita untuk meraikan kejayaan JDT mendominasi Liga Super sejak 2014,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Farween, aksi terakhir Liga Super musim ini juga bakal menyaksikan seramai 5,000 komrad B.O.S membanjiri Stadium Sultan Ibrahim, kehadiran terbesar mereka setakat ini.
Katanya, sebanyak 80 bas dari seluruh daerah juga sudah mengesahkan kehadiran bagi membawa kesemua komrad BOS pada aksi terakhir Liga Super musimi ini.
Katanya, sebelum perlawanan bermula, seramai 4,000 ahli BOS akan berarak di sekitar perkarangan Stadium Sultan Ibrahim bagi menyatakan sokongan kepada JDT.
“Perarakan ini juga sebagai simbolik kepada meraikan kejayaan pasukan JDT merangkul ‘double quadruple’ (quadruple berganda) dengan mengekalkan empat trofi yang dimenangi musim lalu melibatkan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.-UTUSAN