Azerbaijan, Armenia setuju berdamai, normalisasi hubungan

Azerbaijan, Armenia setuju berdamai, normalisasi hubungan

azerbaijan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKU: Azerbaijan dan Armenia mencatat sejarah tersendiri apabila mencapai persetujuan untuk melakukan perjanjian damai dan menormalkan hubungan antara kedua-dua negara termasuk menghormati prinsip kedaulatan dan integriti wilayah.

Persetujuan itu turut menamatkan perang lebih tiga dekad antara kedua-dua negara terutama membabitkan tuntutan wilayah Karabakh yang telah dibebaskan oleh Azerbaijan.

Ia dicapai berikutan perbincangan antara Pentadbiran Presiden Republik Azerbaijan dan Pejabat Perdana Menteri Republik Armenia.

Hasilnya, persetujuan telah dicapai untuk mengambil langkah nyata ke arah membina keyakinan antara dua negara.

Menurut kenyataan dari pejabat kedua-dua kerajan itu, persetujuan itu didorong oleh nilai-nilai kemanusiaan.

Sebagai tanda muhibah, Azerbaijan membebaskan 32 tentera Armenia.

Armenia menyokong pula tawaran Azerbaijan untuk menjadi tuan rumah Sesi Ke-29 Persidangan Parti (COP29) kepada Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim, dengan menarik balik pencalonannya sendiri.

Armenia dan Azerbaijan berharap negara lain dalam Kumpulan Eropah Timur juga akan menyokong bidaan Azerbaijan untuk menjadi tuan rumah.

Sebagai balasan Azerbaijan pula menyokong pencalonan Armenia untuk keahlian Biro COP Kumpulan Eropah Timur.

Kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan mereka mengenai pelaksanaan langkah membina keyakinan yang lebih, berkesan dalam masa terdekat dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha mereka yang akan menyumbang kepada membina kepercayaan bersama antara dua negara dan akan secara positif. memberi kesan kepada seluruh wilayah Caucasus Selatan.

Azerbaijan dan Armenia berperang ekoran tuntutan ke atas wilayah Karabakh pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, dan ia telah berjaya dibebaskan oleh Azerbaijan baru-baru ini.

Semua ini bermula apabila empayar Soviet dibubarkan  pada tahun 1991, yang membawa kepada kemerdekaan Armenia dan Azerbaijan. Pada masa sama Nagorno-Karabakh secara rasmi mengisytiharkan kemerdekaan.

Perang meletus antara Armenia dan Azerbaijan ke atas wilayah itu, mengakibatkan kira-kira tiga puluh ribu orang terkorban dan mewujudkan ratusan ribu pelarian.

Menjelang 1993, Armenia telah menguasai Nagorno-Karabakh dan menduduki 20 peratus kawasan geografi Azerbaijan.

Pada tahun 1994, Rusia menjadi perantara gencatan senjata yang dikenali sebagai Protokol Bishkek, meninggalkan Nagorno-Karabakh secara de facto bebas, dengan kerajaan yang diisytiharkan sendiri di Stepanakert, tetapi masih sangat bergantung pada hubungan ekonomi, politik dan ketenteraan yang rapat dengan Armenia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya