Soalan
TAHUN 2023 sangat mencabar, banyak impian yang diingini tidak tercapai biarpun puas berusaha sehabis baik. Tahun 2024 yang bakal tiba sangat membimbangkan saya.
-Shah, Sepang.
Jawapan
Dalam mengharungi kehidupan, pasti ada di antara kita yang rasa putus asa. Cuba berusaha melakukan yang terbaik, tetapi kegagalan demi kegagalan muncul hingga menyebabkan kita terduduk. Tiada ungkapan yang terluah, jerit perit dalam hati, hanya Allah yang tahu.
Tambahan pula jika impian itu sudah diusahakan dengan sepenuh hati, pasti memberi kesan untuk anda.
Realitinya, hidup ini suatu perlumbaan. Yang cepat akan menang, yang lambat akan kalah. Jika hari ini anda rasa gagal dan kalah, esok bangkitlah kembali. Tiada seorang pun yang mahu hidup dalam kegagalan dan yakinlah kegagalan hari ini bukan penentu gagal selamanya.
Jom semak, penyebab yang mungkin menjadi punca utama impian anda belum tercapai:
Rutin harian sama
Impian perlu datang dengan rutin baharu. Jika anda masih melakukan rutin dengan cara sama setiap hari, bermakna anda belum dapat mencapai kejayaan sebenar. Elak berada dalam lingkungan persekitaran sama. Minda fresh diperlukan untuk bangkit mencapai impian diingini.
Periksa motivasi anda
Cuba lihat orang di sekeliling, adakah anda sudah berpuas hati? Bagaimana hubungan anda dengan Tuhan? Apakah kejayaan yang telah dicapai? Berapa untung rugi dalam perniagaan? Tanya soalan ini pada diri anda sebagai satu langkah untuk merangka matlamat baharu. Jika tiada impian, bermakna anda tidak muhasabah diri.
Tak mahu susah
Setiap kejayaan pasti bermula dengan kesusahan. Setiap kesusahan itu adalah suatu pengorbanan. Jika anda sanggup untuk merasai keperitan dalam hidup, yakinlah sebahagian kejayaan pasti akan menjadi milik anda.
Tiada perancangan rapi
Setiap perkara yang ingin dilakukan memerlukan perancangan rapi. Tanpa perancangan, ibaratnya hidup tanpa matlamat. Fokus kepada big why dan rancang dengan teliti serta cari ilmu yang betul.
Mohon pada allah
Sebanyak mana pun anda berusaha, jangan lupa minta dengan Allah agar dipermudahkan segala urusan. Mungkin anda merancang dengan sebaik-baiknya namun sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah. Tulis semua impian hidup yang dingini. Kerapkan berdoa dengan menyebut semula setiap impian anda selepas solat. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusan anda.