PETALING JAYA: Jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim menegaskan perlawanan menentang Mesir hari ini adalah misi wajib menang untuk memastikan Malaysia menamatkan saingan Piala Dunia Remaja di tangga kesembilan dari 16 pasukan.
Menurut Amin, aksi menentang Mesir merupakan peluang kedua bagi Young Tigers untuk berada di kedudukan terbaik selepas sasaran awal ke suku akhir tidak tercapai apabila sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.
“Saya mahu semua pemain bangkit mengulangi persembahan terpuji ketika menewaskan Chile (7-1) dalam perlawanan pertama. Sebelum perlawanan itu, ikrar pasukan adalah untuk menewaskan Chile dengan apa cara sekalipun. Janji dapat tiga mata.
“Dan akhirnya lami berjaya melunaskan janji itu. Jadi, pertemuan dengan Mesir tiada bezanya. Kami akan tetap fokus untuk menang esok dan layak ke halangan berikut dalam klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16,” katanya.
Biarpun anak-anak buahnya dikritik hebat selepas tewas kepada Argentina dan Australia, Amin tetap yakin dengan kemampuan pasukan dan akan bangkit mempamerkan aksi sebenar dalam pertemuan menentang Mesir.
Selain itu katanya, penjaga gol utama, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini akan terus diberi mandat menjaga gawang dalam kesebelasan utama kerana pihak pengurusan masih menaruh kepercayaan ke atasnya.
Dalam pada itu, ketua jurulatih remaja Mesir, Moustaffa Khalil berkata, pasukannya akan turun bermain dengan sebaik mungkin agar mereka dapat pulang dengan keputusan positif dan mereka juga tidak akan menyerah kalah dengan mudah kepada pasukan tuan rumah.
“Seperti tuan rumah (Malaysia), kami juga ada keazaman mahu menang walaupun kami menghadapi pelbagai kepincangan sebelum datang ke Kuala Lumpur.
“Kemenangan dalam perlawanan klasifikasi sekurang-kurangnya dapat membuat kami gembira sebelum terbang pulang ke Mesir,” katanya.-UTUSAN