BUTTERWORTH: Kerajaan negeri masih belum menyemak hasil Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) mengenai pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, ini kerana projek itu masih berada di bawah seliaan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Terdahulu, katanya, SIA tersebut dijalankan dengan kerjasama komuniti setempat dalam usaha untuk mendapatkan input berhubung kebimbangan yang wujud susulan pembinaan projek tersebut.
“Sebenarnya, tidak ada istilah asrama pekerja warga asing atau tempatan kerana yang ada cuma asrama pekerja sahaja yang boleh didiami oleh semua pekerja termasuk warga tempatan.
“Bagaimanapun, setiap permohonan pembinaan itu mestilah melalui proses tertentu termasuk SIA dan Penilaian Alam Sekitar (EIA) daripada pelbagai agensi untuk mengenal pasti sama ada tapak itu sesuai untuk pembinaan atau sebaliknya.
“Dalam hal ini, saya percaya setiap permohonan (untuk membangunkan asrama pekerja) itu mesti ada bantahan juga kerana kita faham kebimbangan yang dihadapi oleh penduduk tempatan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, satu jawatankuasa bertindak dikatakan telah merancang mengadakan bantahan secara aman berhubung pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar itu pada 30 Disember ini.
Ia susulan kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang terhadap dua permohonan bagi pembinaan asrama pekerja berkenaan sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye memberitahu, meskipun permohonan untuk membina asrama pekerja itu telah diluluskan, namun Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) bagi projek tersebut masih berada di peringkat pertimbangan.
“Ya, memang kita ada menerima permohonan daripada mereka (pemaju) namun, kita perlu meneliti beberapa perkara termasuk PKM, reka bentuk projek dan sebagainya sebelum memberi kelulusan untuk pembinaan projek berkenaan,” ujar beliau. – UTUSAN