Aminah reka PPE wanita berhijab

Aminah reka PPE wanita berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERALATAN pelindung diri (PPE) khas untuk wanita berhijab rekaan Aminah Shafiq kini sudah tersedia di seluruh dunia.

Aminah, seorang saintis kualiti air Severn Trent, merasakan peralatan yang lebih mudah dipakai dan selamat untuk wanita berhijab amat diperlukan terutama ketika lawatan tapak rawatan air.

Beliau yang juga jurutera kanan dari Birmingham berharap reka bentuk hijab PPE ciptaannya akan memberi inspirasi kepada wanita Islam yang ingin menceburi kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan.

Menurut Aminah, idea untuk mencipta peralatan itu tercetus semasa perintah lockdown ketika kemuncak pandemik Covid-19 di United Kingdom (UK) dua tahun lalu.

“Saya mula memikirkan tentang dua kebimbangan iaitu jenis kain yang membantu saya bergerak bebas dan fakta bahawa topi keledar tidak muat di atas kepala saya.

“Saya mengambil inspirasi daripada tudung atletik yang lebih padat dan melekap dengan kemas.

“Pilihan pakaian anda tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjaya yang diingini,” katanya.

Sejak membuat prototaip awal dengan syarikat pengeluar PPE Pulsar, Aminah didekati oleh syarikat lain yang ingin melaksanakan hijab PPE di tempat kerja.

Wanita berusia 26 tahun ini boleh tersenyum lebar apabila ciptaannya kini digunakan oleh banyak firma di seluruh dunia.

“Melainkan ia memberi kesan kepada anda secara langsung, orang ramai tidak akan benar-benar mengetahui halangan sesuatu seperti ini dan ia merupakan pengalaman sebenar mengapa kepelbagaian penting.

“Bagi saya, ia adalah isu yang perlu memberi alasan untuk melaraskan tudung saya jika ia agak tidak selesa di bawah jaket PPE, atau topi keras saya tidak sesuai hingga tidak tahu di mana untuk meletakkannya,” tambahnya

Aminah menjelajah ke seluruh dunia untuk meningkatkan kesedaran tentang penyertaan di tempat kerja melalui persidangan dan seminar, justeru berharap dapat memperkasakan wanita Islam lain.

“Sejak mencipta PPE ini, ramai wanita dan gadis muda menghubungi saya sambil memberitahu sedang mencari kerjaya dalam bidang kejuruteraan, lantas gembira mengetahui sesuatu seperti ini wujud.”

Aminah turut mendapat pengiktirafan di Anugerah Industri Air dan Anugerah Muslim Britain untuk reka bentuk dan juga merupakan salah seorang pembawa baton di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Profesor Bersekutu Kumpulan Pembuatan University of Warwick, Dr. Freeha Azma mengalu-alukan reka bentuk bersepadu itu.

“Apabila bertudung, anda memerlukan banyak pin dan dengan menjauhkan pin daripada PPE, ini memberi banyak kelebihan kerana tidak perlu risau untuk melaraskan hijab anda.

“Selain itu, pin boleh mengundang bahaya, jadi saya fikir dengan mempunyai sesuatu yang baharu dan mudah dipakai, ia memberikan banyak perlindungan,” katanya. – BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya