“AWAK salah makan, terlalu lasak dan banyak dosa, sebab itulah kandungan gugur.”
Demikian antara ‘fitnah’ dan ‘tuduhan yang dilemparkan makcik bawang apabila mengetahui atau melawat mana-mana wanita keguguran.
Asal gugur sahaja, semua salah dituding 100 peratus kepada wanita.
Sudahlah kantung wanita itu jatuh, kemudian dituduh-tuduh hingga hatinya hancur luluh.
Berang dengan situasi itu mendorong pakar perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pakar Damansara 2, Prof. Dr. Imelda Balchin menghasilkan buku ‘Mai Chek Nak Habaq – 100 Mitos Kesuburan dan Kehamilan.’
Naskhah terbaharu ini didatangkan dalam dua jilid dengan yang pertama setebal 303 muka surat manakala kedua pula mengandungi 296 halaman.
Istimewanya, buku ini bukan sekadar menjadi panduan buat ibu-ibu hamil, sebaliknya dapat memberi amaran kepada golongan makcik-makcik bawang yang berlagak pandai di luar sana.
Imelda yang merupakan Pengasas Klinik Pencegahan Kelahiran Pramatang pertama di Malaysia menyelar segala petua-petua mitos dan tahyul untuk ibu hamil dengan fakta serta kajian perubatan.
Matlamat beliau supaya seluruh masyarakat dapat menimba ilmu, menjauhi mitos dan mendekati fakta.
“Belajarlah ilmu yang betul dan sahih daripada pakar dalam bidang itu. Jangan belajar hal-hal auta dan mitos dengan mereka yang tiada kepakaran,” katanya.
Bagi yang biasa membaca tulisan beliau dalam laman sosial pasti akan terhibur dengan buku ini kerana penceritaan dan penjelasannya yang mudah, santai tetapi padat dengan ilmu.
Begitupun, ada elemen-elemen lucu diselitkan antaranya berkaitan mitos tidak boleh mandi malam ketika hamil, lelaki tiada telur, bayi disorok bunian dan nanas punca gugur.
Buku pertama untuk bacaan awam
Walaupun pernah menulis beberapa buku sebelum ini, tetapi kata Imelda, semua naskah itu bersifat akademik.
Jelasnya, ‘Mai Chek Nak Habaq – 100 Mitos Kesuburan dan Kehamilan’ merupakan naskah pertamanya untuk bacaan awam.
“Semoga buku ini dapat memperkasakan lagi wanita dan menghentikan segala salah faham atau mitos berkaitan kesihatan,” katanya. –UTUSAN