BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 500 penduduk Bukit Tengah di sini, memeriahkan acara sukan rakyat sempena Karnival Bukit Tengah dan Kejohanan Sepak Takraw Bukit Tengah anjuran Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah.
ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, program itu merupakan pertama kali dianjurkan pihaknya selepas memenangi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Ke-15 baru-baru ini.
“Program ini turut melibatkan kerjasama dengan beberapa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di bawah Bukit Tengah iaitu MPKK Sungai Semilang selaku tuan rumah, MPKK Kampung Sekolah Juru dan juga MPKK Bukit Kechik Juru.
“Selain itu, pihak kami turut mendapat sokongan daripada Persatuan Sahabat Belia Pulau Pinang yang mengelolakan aktiviti sukan rakyat termasuk permainan congkak, bola beracun, batu tujuh, kelereng, sepak raga timbang dan banyak lagi yang saya lihat dapat mengimbau kembali nostalgia permainan zaman kecil dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di Dataran Sungai Semilang, Juru, di sini, baru-baru ini.
Katanya, penganjuran program seumpama itu juga bagi mengeratkan hubungan setia kawan sesama penduduk tanpa mengira latar belakang kaum mahupun fahaman politik.
Dalam masa sama, ujar beliau, ia juga bertujuan memupuk semangat perpaduan serta sikap saling menghormati di antara generasi lama dan baharu.
“Melalui penganjuran aktiviti seperti ini saya ingin melihat generasi sekarang untuk sama-sama merasai keseronokan dalam menyertai sukan rakyat dengan harapan dapat menyuburkan kembali nostalgia orang dulu-dulu dalam bersosial sesama masyarakat.
“Malah, semangat yang ditonjolkan oleh penduduk di sini amat positif dan mereka juga mengikut tema iaitu berpakaian seperti orang ‘dulu-dulu’ yang mana golongan wanita berkain sarung batik, berbaju kurung Kedah manakala golongan lelaki pula berkain pelikat serta berbaju pagoda sepanjang program ini berlangsung,” katanya.
Selain aktiviti sukan rakyat, pihak Kadun Bukit Tengah turut mengadakan program Jualan Rahmah serta pertandingan mewarna menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Seberang Perai Tengah.
Program itu disertai seramai 120 orang kanak-kanak KEMAS selain turut mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Bukit Tengah. – UTUSAN