224 calon SPM di Terengganu berisiko terjejas banjir - Utusan Malaysia

224 calon SPM di Terengganu berisiko terjejas banjir

ANGGOTA sukarelawan Kementerian Pendidikan bergotong-royong membersihkan SK Sungai Las, Setiu yang terjejas banjir, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seramai 224 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikenal pasti berisiko terjejas sekiranya berlaku banjir di Terengganu dalam tempoh peperiksaan tersebut dari 30 Januari hingga 7 Mac 2024.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, langkah proaktif akan diambil bagi memastikan calon terlibat dapat menjalani peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan sekiranya berlaku bencana tersebut.

“Kita telah minta Pengarah Pendidikan Negeri untuk membuat penelitian dan pemantauan terhadap calon-calon SPM agar mereka dapat menjalani peperiksaan tersebut mengikut jadual ditetapkan.

“Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah kenal pasti seramai 224 pelajar yang kemungkinan hadapi masalah sekiranya berlaku banjir,” katanya ketika ditemui selepas operasi pembersihan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Las di sini, hari ini.

Seramai 37 sukarelawan Kementerian Pendidikan terlibat dalam gotong-royong membersihkan SK Sungai Las yang terjejas banjir, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, antara langkah yang diambil terhadap calon SPM terlibat adalah
menempatkan mereka di asrama atau di sekolah yang berdekatan untuk memudahkan mereka bergerak ke pusat peperiksaan.

Jelasnya lagi, jumlah calon yang berisiko terjejas banjir itu membabitkan 16 buah pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Kementerian Pendidikan menganggarkan jumlah kerugian sekolah-sekolah yang terjejas banjir di negeri ini berjumlah kira-kira RM340,000.

“Kerugian yang dialami itu melibatkan kerosakan perabot dan bangunan dan
jumlah kerugian tersebut juga telah dimaklumkan kepada KPM dan insyaallah diluluskan peruntukan untuk membaiki kerosakan tersebut,” katanya.

Selain itu, Shafruddin berkata, sebanyak 79 sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dijangka beroperasi sepenuhnya mengikut jadual persekolahan seperti yang ditetapkan kementerian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya