JOHOR BAHRU: Skuad remaja kebangsaan terus dirundum malang apabila dibelasah Great Britain 4-7 dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Young Tigers sekadar berentap pada perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan menentang Afrika Selatan pada petang esok.
Pada perlawanan itu, Great Britain terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kelima hasil jaringan Matthew Hughson menerusi pukulan sudut penalti yang menewaskan penjaga gol, Rafaizul Sani.
Skuad kendalian Jon Bleby terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan dan berjaya mencipta dua gol padang pada minit kesembilan dan minit ke-15 hasil Ted Graves dan Ali Douglas.
Tersentak dengan keputusan itu, skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim meningkatkan tempo permainan dan berjaya memecahkan kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten Faris Harizan pada minit ke-22.
Dua minit berselang, Young Tigers merapatkan jurang gol apabila Andywalfian Jeffrynus meledak gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-24 juga menerusi pukulan sudut penalti.
Harris Iskandar Osman melengkapkan kebangkitan skuad remaja kebangsaan apabila menyamakan kedudukan menerusi gol padang yang dihasilkan pada minit ke-27.
Bersambung babak kedua, Great Britain berjaya memadamkan momentum pasukan tuan rumah apabila berjaya melebarkan kedudukan setelah Jacob Payton mencipta dua gol pada minit ke-36 dan ke-42 menerusi gol padang.
Sebelum tamat suku ketiga, Haris merapatkan kedudukan dengan menambah gol kedua peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 bagi menghidupkan peluang pasukan tuan rumah.
Pada suku keempat, pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-49 menerusi Henry Markham menerusi gol padang sebelum Rory Penrose menambah derita buat Young Tigers apabila meledak gol ketujuh pasukan pada minit ke-54.
Great Britain akan berdepan New Zealand pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam selepas pasukan The Black Sticks itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Afrika Selatan pada pertembungan petang tadi.
Afrika Selatan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 selepas View Mbata menjaringkan gol padang berpunca daripada umpanan Cameron le Forestier untuk menewaskan penjaga gol, New Zealand, Hayden Ganley.
New Zealand mempamer kebangkitan menyamakan kedudukan menerusi gol padang Jonly Elmes menewaskan penjaga gol Afrika Selatan, Nathan Ansell.
Skuad kendalian Aaron Ford menambah jaringan apabila Ryan Parr menjaringkan gol padang pada minit ke-36 dan Gus Nelson melengkapkan kebangkitan buat New Zealand apabila meledak gol ketiga pada minit ke-47.