BACHOK: Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kerajaan Kelantan dan pihak swasta dapat bekerjasama dalam konteks pembangunan negeri ini.
Baginda yang juga Pro-Canselor UMK bertitah, sekiranya ketiga-tiga pihak itu dapat memaksimumkan potensi menerusi keupayaan masing-masing ia sekali gus dapat memberi manfaat yang signifikan kepada kesejahteraan rakyat jelata.
“UMK mempunyai bidang kepakaran, kerajaan negeri ada sumber manakala pihak swasta boleh menyediakan dana pelaburan.
“Semua pihak perlu memperlihatkan semangat dan rasa kecintaan kepada UMK,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UMK Ke-13 di Dewan Tuanku Canselor UMK Kampus Bachok,di sini hari ini.
“Misalnya, para korporat Kelantan yang berjaya dalam pelbagai bidang boleh menjadikan agenda waqaf dan endowment sebagai wadah untuk menyumbang semula kepada masyarakat menerusi pembangunan infrastruktur universiti.
“Sehubungan itu, beta turut berpendapat bahawa sumber-sumber sedia ada seperti tanah perlu dioptimumkan penggunaannya,” titah baginda. –UTUSAN