Saya bukan garang, hanya tegas laksana tugas - Affandi

Saya bukan garang, hanya tegas laksana tugas – Affandi

RAJA Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor Raja berswafoto bersama seorang penduduk ketika berkempen di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, sangat senang didampingi meskipun ada individu yang menganggap beliau seorang yang garang berikutan kerjayanya sebagai bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini.

Raja Mohamed Affandi berkata, beliau bukan seorang yang garang, namun hanya tegas dalam melaksanakan tugas dan setiap tanggungjawab yang diamanahkannya. 

“Kalau kata saya garang, itu hanya andaian. Tapi, ketegasan itu ada. Garang dan tegas itu berbeza. 

SUARA

“Kalau nak jadi Ahli Parlimen yang baik, ketegasan itu mungkin dapat membantu bukan hanya untuk keperluan rakyat yang diwakili tetapi juga untuk membawa suara ke peringkat atasan. Mungkin ketegasan itu dapat memberi manfaat,” katanya ketika ditemui ketika berkempen di Chukai di sini, hari ini. 

Sepanjang tempoh berkempen bermula 18 November lalu, Raja Mohamed Affandi dilihat sangat mesra dan mudah disapa sesiapa sahaja ketika turun berkempen. 

Malah, beliau kelihatan tidak kekok berjabat tangan dan membalas pelukan penduduk terutamanya warga emas yang disantuni. 

Ditanya mengenai kempen yang masih berbaki beberapa hari lagi sebelum hari pengundian Sabtu ini, Raja Mohamed Affandi berkata, beliau akan menggunakan sepenuhnya ruang dan masa yang ada untuk terus berjumpa dengan pengundi. 

“Seboleh-bolehnya saya mahu masa kempen yang lebih lama supaya dapat menyantuni semua pengundi. Namun, saya akur dengan masa yang ditetapkan dan saya bersama jentera BN dan jentera di bawah gabungan parti kerajaan perpaduan akan terus berkempen hingga ke hari terakhir. 

“Saya juga mendapat reaksi positif dan ada antara pengundi atas pagar juga sudah mula menyatakan sokongan menyebelahi saya,” katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata, beliau merayu sokongan pengundi di Parlimen Kemaman supaya memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat membangunkan Parlimen itu yang dilihat tidak banyak perubahan yang dilakukan selepas disandang Pas sejak Pilihan Raya Umum ke-14. 

Pada PRK itu, Raja Mohamed Affandi bertemu satu lawan satu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan penyandangnya, Che Alias Hamid dari Pas, pada September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya