PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan bahawa dia tidak pernah campur tangan dalam urusan pelantikan ketua jurulatih remaja negara yang baru, Jeffer Rosobin dari Indonesia.
Jeffer, jurulatih yang pernah membimbing skuad Indonesia dan membentuk perseorangan utama mereka, Gregoria Mariska Tunjung telah memulakan tugas bersama skuad remaja negara sejak 1 November lalu.
Bagi Rexy, dia langsung tiada kena mengena dengan pelantikan tersebut yang menyaksikan Jeffer bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Misbun Sidek sebelum ini.
Kemasukan Jeffer bermakna ketika ini terdapat empat orang warga Indonesia yang mengendalikan kem latihan kebangsaan, termasuk Rexy, Hendrawan (perseorangan lelaki) dan Nova Widianto (beregu campuran).
“Untuk penjelasan sebenar, saya bukanlah individu yang membawa masuk Jeffers. BAM telah mengiklankan jawatan kosong dan dia telah memohonnya. Pihak pengurusan telah menemu ramahnya dan memilih Jeffers untuk menggalas tugas ini.
“Saya memang tiada kaitan tentang pelantikan Jeffers, malahan saya sendiri secara peribadi tidak tahu dia memohon jawatan itu. Saya cuma mendengar khabar angin dari beberapa orang jurulatih yang turut memohon jawatan yang sama, dan akhirnya Jeffer yang dipilih,” jelas Rexy yang ditemui media semalam.
Dalam masa yang sama, Rexy berharap agar Jeffer dapat membawa angin baru ke dalam skuad remaja negara yang sebelum ini bergelut dengan masalah prestasi.
“Dia sudah memulakan tugasnya sejak 1 November lalu, dan telah mengikuti beberapa siri mesyuarat bersama kami. Dia juga telah menghantar pelan perancangannya untuk skuad remaja semalam (kelmarin) tentang kejohanan yang akan disertai dan sebagainya, tetapi kami masih perlu berbincang dengan Michelle (Chai) sama ada perancangannya itu diluluskan atau sebaliknya,” tambah Rexy.