KUALA LUMPUR: Ramona Zamzam berkongsi momen istimewa dipeluk pelajar Universiti Al Azhar sewaktu kunjungan pelakon itu ke universiti berkenaan baru-baru ini.
Berkongsi di Instagram, pelakon berusia 33 tahun itu memaklumkan pelajar terbabit memeluknya selepas mengetahui Ramona berkahwin dengan orang Palestin.
“Saya terserempak pelajar universiti Al Azhar dan salah seorang daripada mereka memeluk saya selepas mengetahui saya berkahwin dengan orang Palestin.
“Alhamdulillah, satu penghormatan buat saya kerana dapat menziarahi universiti Al Azhar,” tulisnya di Instagram.
Ramona turut berkongsi momen istimewa itu menerusi video yang dimuat naik di platform berkenaan.
Difahamkan pelakon filem KL Special Force itu kini sedang bercuti ke Mesir.
Bekas peserta Dewi Remaja itu berkahwin dengan Rami Alashkar pada 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ivanna Alashkar.