SUNGKAI: Program Puteri Belantara anjuran pensyarah dan pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) melebarkan sayap ke lokasi ketiga untuk mengembangkan potensi pembangunan kepimpinan asas dengan melibatkan 50 orang murid perempuan tingkatan tiga dan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Besout, Sungkai, baru-baru ini.
Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri dan Komuniti, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM Prof Madya Dr Aziah Ismail berkata, sasaran program ini adalah untuk memfokuskan kepimpinan wanita dan turut melibatkan ibu-ibu peserta program ini di pelbagai lokasi. Terdahulu program ini telah dijalankan di Pos Kemar, Gerik dan di Parit, Perak.
“Keunikan Puteri Belantara kami kembangkan ke pelbagai lokasi seperti perkampungan orang asli, luar bandar, bandar, pesisir pantai dan Felda.
“Selain mencungkil bakat kepimpinan diri murid, program ini turut mendedahkan mereka dengan kemahiran penyelesaian masalah, laluan kerjaya masa hadapan, kelestarian dalam kepimpinan dan peranan wanita dalam keluarga,” katanya yang merangkap ketua Program Puteri Belantara.
Program yang dirasmikan oleh Pengurus Rancangan Felda Besout 2 Izwan Hadi Basari ini sangat dialu-alukan dalam meningkatkan potensi anak-anak Felda Besout.
“Perkongsian ilmu daripada USM amat kami harapkan dan kelainan program ini yang turut melibatkan para ibu peserta sangat membantu kami dalam menaikkan keyakinan diri peserta sebagai pemimpin penyambung generasi Felda,” ujarnya.
Program yang telah dijalankan pada 27 hingga 28 Oktober lalu ini turut dikendalikan oleh tiga fasilitator iaitu pensyarah USM Dr Ummu Sakinah Mohamad Subri, pelajar USM Ainisaadah Mohd Saod dan Kaunselor Pendidikan Negeri Jabatan Pendidikan Negeri Perak Norzaimimah Pahmi.
Semua perkongsian ini disambut baik dan dihargai oleh Pengetua SMK Felda Besout Sungkai, Siti Shahida Abdullah bagi membantu mengembangkan potensi kepimpinan anak-anak didik sekolah ini. Beliau sangat mengalu-alukan perkongsian daripada pelbagai pihak terlibat dalam program ini yang merangkumi pelbagai bidang berkaitan kepimpinan asas.
Program ini turut dijayakan oleh Pengarah Wilayah Felda Wilayah Trolak Shahrima Dollah Hassim dan Pengurus Marry Brown Sungkai Cik Siti Noraisyah Fuad.
Selain itu Pegawai Perhubungan Awam & Sains Yakult Malaysia Ong Zhu Hong turut berkongsi peranan kesedaran menjaga organ penghadaman dalam melahirkan pemimpin yang sihat, cergas dan cerdas.