PETALING JAYA: Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menegaskan, program Podium bukan program sukan kelas kedua seperti yang dilabelkan beberapa pihak sebelum ini memandangkan ia turut membantu atlet untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
Jelasnya, tidak ada banyak perbezaan ketara antara program Podium dan Road To Gold (RTG) kerana kedua-duanya menawarkan perkhidmatan hampir sama namun yang membezakan RTG dengan Podium adalah program tersebut memberi khidmat tambahan kepada atlet-atlet RTG dalam usaha mencapai tujuan untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik.
“Program Podium sekarang ini adalah kita sediakan kemudahan kepada atlet-atlet yang sudah dikenal pasti. Semua ini kita sudah bincang dengan persatuan serta jurulatih masing-masing.
“Dari segi kemudahan, sama sahaja RTG dan Podium ini, cuma RTG ada khidmat tambahan berbanding Podium. Lain-lain kemudahan semua atlet Podium dapat, namun tambahan hanya diberikan kepada atlet RTG,” katanya.
Tambah Jefri, berkata masih ada ramai atlet yang menikmati bantuan daripada MSN menerusi program Podium dalam usaha mereka untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kita juga ada sediakan bantuan kepada atlet-atlet lain seperti menembak, pelayaran, memanah dan sebagainya. Kita hantar atlet-atlet ke kejohanan untuk mengutip mata kelayakan termasuk terjun yang masih ramai belum layak.
“Berdasarkan prestasi pada Olimpik Tokyo dan prestasi semasa atlet, kita jangkakan seramai 30 hingga 35 atlet akan layak. Itu termasuk atlet-atlet yang berada dalam RTG dan program Podium,” ujar Jefri.-UTUSAN