PETALING JAYA: Malaysia dan Peru membincangkan aspek peluang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, perkara itu dibincangkan ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra.
Kata beliau, isu pemerkasaan wanita dan perubahan iklim turut disentuh dalam pertemuan berkenaan.
“Dalam pertemuan tersebut Presiden Boluarte memohon Malaysia mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru untuk menjadi pemudah cara pensijilan halal bagi produk di negara tersebut.
“Presiden Boluarte turut mempelawa saya ke Peru tahun depan, sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 yang akan dipengerusikan negara itu.
“Dalam pertemuan ini, saya juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh di Peru baru-baru ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam pertemuan sama, Malaysia juga menyatakan sokongan kepada usaha Peru untuk mewujudkan status Perkongsian Pembangunan dengan ASEAN. – UTUSAN