LKIM sedia peruntukan RM250,000 bakul makanan - Utusan Malaysia

LKIM sedia peruntukan RM250,000 bakul makanan

MUHAMAD Faiz  Fadzil (empat dari kanan) menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan kepada beberapa nelayan di Kijal, Kemaman, di hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan peruntukan sebanyak RM250,000 bagi menyediakan bakul makanan untuk membantu golongan nelayan yang terjejas ekoran Monsun Timur Laut (MTL), tahun ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, peruntukan itu bagi memastikan nasib golongan tersebut terbela. 

Menurutnya, peruntukan yang akan disediakan hingga Mac tahun hadapan itu menyasarkan penerima daripada golongan nelayan pesisir pantai yang golongan B40.

“Kita akan lancarkan bantuan bakul makanan ini kepada nelayan yang terkesan akibat MTL sedikit masa lagi. 

“Setakat ini, kita dah sedia RM250,000 untuk penyediaan bakul makanan ini dan tumpuan lebih kepada golongan Zon A, pesisir pantai yang merupakan golongan B40 dan di Pantai Timur kita ada lebih kurang 9,000 nelayan Zon A,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ramah Madani bersama nelayan Kijal dan Kemasik, dekat sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Faiz turut mengingatkan supaya pemain industri termasuk peniaga, pemborong, pengangkutan dan peruncit tidak menjadikan MTL sebagai alasan untuk sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan. 

Menurutnya, setakat ini, bekalan ikan masih mencukupi dan tidak banyak terjejas meskipun telah masuk musim tengkujuh. 

“Pada permulaan MTL ini, hanya nelayan tradisional yang menggunakan bot kecil yang tidak dapat turun ke laut. 

“Nelayan zon B, C, C2 (laut dalam) masih boleh ke laut dan di Pantai Barat dan Sabah serta Sarawak juga tidak terjejas,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, kestabilan bekalan ikan pada masa ini juga dikukuhkan dengan penyediaan 1,700 tan metrik ikan sejuk beku oleh LKIM sebagai stok penimbal.

Justeru, menurutnya tiada isu kenaikan harga disebabkan kekurangan bekalan memandangkan stok hasil laut tersebut masih boleh didapati dari negeri Pantai Barat dan ikan segar sejuk beku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya