Lelaki dipenjara enam bulan, didenda RM500 kibar bendera Israel - Utusan Malaysia

Lelaki dipenjara enam bulan, didenda RM500 kibar bendera Israel

HARMA Zulfika Deraman (tengah) yang dituduh menggantung dan mengibar bendera Israel dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Marang, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang lelaki dipenjara enam bulan dan didenda RM500 atas kesalahan menggantung dan mengibar bendera Israel, bulan lalu.

Tertuduh, Harma Zulfika Deraman, 30, turut berdepan tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu bagaimanapun akan bermula selepas tertuduh selesai hukuman penjara lima tahun di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Majistret Zur Azureen Zainalkefli membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Marang di sini, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mempamer bendera Israel di tempat awam iaitu bertentangan dengan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bengkel aksesori kenderaan di Kampung Padang Lebam, Bukit Payung sekitar pukul 1 petang, 19 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(1)(i) akta yang sama.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa polis, Asisten Superintenden Othman Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Bulan lalu media melaporkan seorang lelaki ditahan setelah disyaki mempamerkan bendera Israel di sebuah premis sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Turut tular di media sosial beberapa keping gambar menunjukkan bendera negara Zionis  itu digantung dengan tertuduh turut memiliki rekod lampau berkaitan kes narkotik.

Tertuduh kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan narkotik di bawah Seksyen 39C ADB 1952 yang baru berjalan sebulan serta satu sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya