Keputusan Muda rujuk persoalan ke Mahkamah Persekutuan 17

Keputusan Muda rujuk persoalan ke Mahkamah Persekutuan 17 Januari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Januari depan untuk keputusan permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Persoalan undang-undang itu adalah berkait dengan saman pemula parti itu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan siasatan dan dapatan yang dibuat dalam siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Hakim Datuk Mohamad Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) merupakan hakim yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Hakim itu juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Ia (keputusan berhubung persoalan undang-undang) akan membuat satu parameter mengenai apa yang boleh dibuat oleh SPRM dan apa yang tidak boleh dilakukan dan bukannya hendak menghalang mana-mana siasatan oleh SPRM,” kata peguam, Lim Wei Jiet yang mewakili parti itu.

Selain itu, peguam terbabit menyatakan, walaupun surat SPRM yang dihantar kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan bahawa SPRM `berpendapat’ Hakim Mohd. Nazlan melanggar Kod Etika Hakim, namun, berdasarkan laporan yang dikepilkan bersama surat terbabit memberikan persepsi berbeza.

“Dapatan laporan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa Hakim Mohd. Nazlan melakukan kesalahan. Ia bukanlah satu bentuk pendapat atau pandangan tetapi merupakan satu keputusan,” kata Wei Jiet.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan 17 Januari 2024 untuk keputusan permohonan tersebut.

Dua persoalan yang ingin dirujuk oleh Muda ke Mahkamah Persekutuan ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang digantung tugas menurut Perkara 125(5) Perlembagaan Persekutuan.

Satu lagi persoalan ialah sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, ketika membantah terhadap permohonan tersebut, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly berkata, permohonan tersebut menjadi akademik memandang isu mengenai Hakim Mohd. Nazlan telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Selain itu, Ahmad Hanir menyatakan bahawa siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd. Nazlan tidak pernah dibuat mengikut Kod etika Hakim sebaliknya ia dibuat berpandukan Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM).

Selain itu, hasil siasatan hanyalah satu pendapat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat SPRM kepada Hakim Tengku Maimun.

Menerusi saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lepas, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan kedua (SPRM) tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat selain memohon deklarasi siasatan terhadap Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Sementara itu, ketiga-tiga plaintif menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman pemula berkata, media melaporkan bahawa SPRM memulakan siasatan terhadap Nazlan berkenaan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya dan siasatan ini kononnya dimulakan berikutan laporan yang dibuat kepada SPRM.

Mereka mendakwa siasatan oleh SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh badan eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN