ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan penuh bergaya apabila berjaya menundukkan Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini dengan jaringan 8-1.
Kemenangan dalam saingan separuh akhir kedua itu menyaksikan skuad Harimau Selatan menjinakkan skuad The Bos Gaurus dengan keputusan 12-2 secara agregat selepas melakar kemenangan 4-1 pada separuh akhir pertama di Ipoh.
Permulaan bermula seimbang pada 10 minit pertama apabila kedua-dua pasukan dilihat menyusun strategi untuk mengasak lawan masing-masing sebelum JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi.
Pemain bintang JDT itu bijak menggelecek pertahanan lawan sebanyak dua kali sebelum melepaskan tendangan menerjah gawang.
Harimau Selatan dilihat terus mudah menembusi pertahanan pasukan pelawat apabila turut menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-26 dan minit ke-31 menerusi jaringan Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes untuk menutup babak pertama dengan 3-0.
Bersambung babak kedua, ianya bermula rancak dengan kedua-dua pasukan kembali mengatur serangan, namun seperti dijangka JDT tidak mengambil masa lama untuk menggandakan jaringan menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-52 menerusi jaringan cantik Fernando Forestieri, disusuli gol Bergson tujuh minit kemudian.
Belum sempat penyokong JDT meraikan jaringan tersebut, Syafiq Ahmad menanduk masuk gol keenam JDT selepas menerima bola hantaran Oscar Arribas pada minit ke-61.
Perak terus berdepan mimpi ngeri apabila JDT berjaya mendapatkan jaringan ketujuh pada minit ke-77 sekali lagi menerusi Syafiq yang memanfaatkan situasi kucar-kacir depan gawang pasukan pelawat.
JDT melengkapkan malam cemerlang mereka dengan jaringan kelapan pada masa tambahan menerusi jaringan Heberty Fernandes.
Perak FC bagaimanapun, berjaya meraih gol saguhati pada masa tambahan menerusi jaringan Muhammad Firdaus Ahmad Fuad.-UTUSAN