ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu episod duka tewas 1-3 ditangan Ulsan Hyundai pada pertemuan pertama Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) berulang kembali di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Justeru, Esteban Solari dan anak buahnya tekad mahu menebus kekalahan tersebut dengan mencipta kemenangan sekali gus membuka peluang untuk JDT layak ke pusingan seterusnya.
Bagaimanapun, Solari mengakui pasukannya akan berdepan tugas sukar tetapi tetap menaruh harapan tinggi untuk melakar kejutan ke atas Ulsan Hyundai pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam esok.
Solari berkata, gergasi Korea itu sudah pasti mahu mengulangi rentak kemenangan selepas menewaskan pada aksi, 24 Oktober lalu dan ditambah pula pasukan itu muncul juara Liga 1 Korea (Liga K1) selepas menewaskan Daegu 2-0 pada perlawanan 29 Oktober lalu.
Pengendali dari Argentina itu,turut mengingatkan anak buahnya agar tidak membenarkan pasukan pelawat sekali lagi mendapatkan gol pantas seperti mana dilakukan mereka di Stadium Munsu yang menyaksikan dalam tempoh 18 minit, gawang JDT dibolosi tiga gol.
“Jika diimbas permainan lalu, kita mudah membenarkan lawan menjaringkan gol, malah ia turut berlaku ketika menentang BG Pathum, ini tidak boleh lagi berulang kerana akan menjejaskan permainan kami.
“Justeru, kita akan cuba bermain lebih menyerang serta memperkemaskan lagi benteng pertahanan supaya tidak memberi ruang buat lawan mendapatkan gol,” katanya.
Sementara itu, pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo mengingatkan anak buahnya untuk tidak terlalu yakin sebaliknya berwaspada apabila turun menentang JDT.
Myung-bo juga menafikan tanggapan keputusan merehatkan tiga bintang utama iaitu kapten Jung Seung-hyun, Darijan Bojanic dan Gustav Ludwigson ketika aksi menentang Daegu 29 Oktober lalu kerana mahu memberi rehat secukupnya kepada mereka untuk aksi menentang JDT.
“Tidak betul, saya merehatkan ketiga-tiga pemain itu berdasarkan prestasi ketika latihan untuk persiapan menentang Daegu dan tidak ada kena mengena untuk menentang JDT malah saya sudah merangka perancangan bagi aksi ACL.
“Namun, kita melakukan persiapan yang baik untuk pertarungan malam esok (malam ini) dan semua pemain akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan tiga mata tidak terlepas walaupun sedar akan berdepan JDT yang akan tampil dengan permainan berintensiti tinggi.
“Kita juga sedar JDT mempunyai kemudahan stadium yang baik serta penyokong fanatik dan ianya tidak akan memberi kesan kepada pasukan Ulsan untuk memenangi pertarungan ini,” ujarnya.