SOALAN
Saya seorang suami yang pernah melakukan kesilapan dalam rumahtangga dan sudah bertaubat. Namun sejak akhir-akhir ini, isteri banyak berdiam diri dan mula menjauhkan diri daripada saya. Saya sangat risau kerana saya sayangkan rumahtangga saya.
-FARHAN, PETALING JAYA
JAWAPAN
Dalam rumahtangga, pasti ada pasang surutnya. Ada masanya, kita bahagia, ada masanya pula, bermasam muka. Inilah lumrah kehidupan yang harus dilalui oleh setiap pasangan.
Tidak dinafikan bahawa setiap pasangan yang berkahwin inginkan kebahagiaan dalam rumahtangga.
Namun begitu, dalam mengecapi kebahagiaan sudah pasti pelbagai onak dan duri yang perlu dilalui bersama.
Ada pasangan yang mengalah akan memilih untuk memutuskan ikatan perkahwinan, manakala pasangan yang menang akan teruskan kehidupan mendatang dengan pasangan sehingga akhir hayat.
Menjawab persoalan ini, berkemungkinan isteri sedang melalui fasa tawar hati atau memujuk diri dengan ujian rumahtangga.
Oleh itu, tuan boleh melakukan cara ini untuk memikat semula hati isteri iaitu:
a)Mengajak isteri berbincang
– Luangkan masa bersama isteri. Tidurkan anak-anak dan ambil sedikit masa sebelum tidur untuk bertanya khabar dan perasaan isteri. Elakkan mendesak sekiranya isteri tidak selesa dengan cara tersebut. Lakukan secara berterusan agar dapat mencari keserasian dan keselesaan bersama untuk
berbincang.
b)Membeli buah tangan kesukaan isteri
-Pulang awal apabila tamat waktu bekerja. Singgah di gerai buah, bunga dan makanan kesukaan isteri. Hadiahkan isteri apabila tibanya di rumah nanti.
c)Mengajak isteri melakukan aktiviti bersama
-Melakukan aktiviti bersama-sama dapat mengeratkan hubungan antara suami isteri. Contoh, beriadah,
menonton dan sebagainya
d)Selalu meminta maaf walaupun tidak melakukan kesalahan
-Selalulah mengucapkan maaf kepada pasangan supaya dapat menghindarkan diri daripada terbawa-bawa dengan emosi yang tidak sihat. Mengakuilah bahawa mengalah bukan bererti kalah tetapi sebagai satu usaha untuk menambahkan kasih sayang dalam sesebuah perhubungan.
d)Belajar daripada kesilapan lepas
-Mengakui kesilapan lalu dan belajar menghargai pasangan di depan mata. Berdoa dengan Allah agar diberikan rasa cukup dengan anugerah yang telah dikurniakan kepada anda.