SEPANG: Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2023 sudahpun melabuhkan tirai, kelmarin, namun, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengakui masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki terutama kualiti trek di selekoh tujuh dan sembilan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya menerima maklum balas yang positif daripada semua pihak terutamanya pelumba, tetapi, menjelang sesi pra musim pada awal tahun depan, SIC perlu memeriksa kembali keadaan trek yang dilaporkan sedikit berbonggol di selekoh tujuh.
“Kita telah mendapat maklum balas daripada pelumba sejak hari pertama lagi, ada yang berpuas hati dan ada juga yang minta kita perbaiki selekoh tujuh dan selekoh sembilan yang merupakan selekoh perlahan.
“Tetapi, kerja-kerja menaik taraf yang kita lakukan pada selekoh tujuh hingga 12 sebelum ini menerima maklum balas positif di mana ia lebih bagus berbanding tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas berakhir GP Malaysia kelmarin.
Menurut Shafriman, pihaknya juga menerima maklum balas daripada Dorna Sports (pemegang hak MotoGP), sebanyak 182,912 orang hadir menyaksikan GP Malaysia dalam tempoh tiga hari sejak Jumaat lepas.
Jelas beliau, rata-rata yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan GP Malaysia menyatakan rasa berpuas hati dengan penganjuran kali ini.
“Banyak maklum balas yang kita dapat untuk buat lebih bagus tahun depan, kita akan fikirkan untuk menambah pelbagai aktiviti seperti dengan murid sekolah dan juga pembabitan Rakan Muda,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya juga akan duduk semula dengan kontraktor untuk tingkatkan lagi keadaan permukaan trek di selekoh-selekoh tertentu sebelum ‘shake down’ MotoGP pada tahun depan.
Mengulas pula mengenai pembangunan pelumba tempatan, Shafriman berkata, pihaknya berpuas hati kesemua tujuh pelumba beraksi pada tahun ini.
Bagaimanapun, jelasnya, dari segi pencapaian, tuah tidak begitu berpihak kepada pelumba negara dan mereka perlu lakukan sesuatu bagi meningkatkan prestasi.
“Saya juga ingin sarankan pihak swasta yang ingin membantu boleh tampil ke hadapan berbincang dengan kami dan dengan strategi yang betul, kita harap dapat buat lebih baik pada tahun depan,” tambahnya.