Eain Yow, Sivasangari, Rachel tempah slot suku akhir

Eain Yow, Sivasangari, Rachel tempah slot suku akhir

RACHEL Arnold menewaskan Farida Mohamed dari Mesir, 3-0 (11-5, 11-8, 11-8) pada perlawanan akhir Terbuka China di Shanghai, hari ini. - Ihsan PSA World Tour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ng Eain Yow, Rachel Arnold dan S. Sivasangari mara ke suku akhir selepas menyingkirkan pencabar masing-masing pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Piala Malaysia Ace di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Pemain No. 20 dunia, Ng Eain Yow menjadi wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan lelaki selepas dia menyekat kemaraan pemain muda Mesir, Ibrahim Elkabbani 11-8, 11-8, 11-8.

NG EAIN YOW mara ke suku akhir selepas menewaskan Ibrahim Elkabbani dari Mesir pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Piala Malaysia Ace di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. – Ihsan PSA World Tour

Pilihan keempat itu ketika ditemui selepas perlawanan tamat berkata, perlawanan, hari ini, tidak mudah memandangkan dia tidak begitu mengenali pemain tersebut.

“Dia masih muda dan baru naik ranking, tetapi, saya memang ada selidik sikit pasal pemain ini dan saya tahu dia bagus, saya pula kali pertama beraksi di gelanggang ini.

“Keadaan gelanggang kaca ini memberi kelebihan kepada Ibrahim kerana dia gemar membuat pukulan yang kuat dan saya pula masih cuba sesuaikan diri dengan gelanggang,” katanya yang bakal berdepan sama ada Sebastien Bonmalais dari Perancis atau pemain England, Ben Smith.

Dalam saingan perseorangan wanita, Rachel Arnold dipaksa berhempas selama hampir sejam sebelum beroleh kemenangan ke atas naib juara remaja dunia, Aira Azman 11-6, 10-12, 11-8, 5-11, 15-13.

Pada suku akhir, esok, Rachel bakal mengharungi laluan getir menentang pemain No. 19 dunia, Farida Mohamed, 21, dari Mesir.

Pilihan kedua kejohanan itu tidak berdepan sebarang masalah menempah slot ke peringkat lapan terbaik selepas menundukkan pemain veteran Malaysia, Low Wee Wern 11-3, 11-0, 11-4 hanya dalam masa 18 minit.

Rachel ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia bermain dengan tenang, hari ini, dan tidak berasa tertekan, tetapi, sedikit keletihan kerana dipaksa bermain rali yang panjang.

“Aira bermain dengan sangat baik, jadi, saya perlu fokus kepada perancangan permainan saya dan berusaha mengelak daripada memukul di kawasan tin terlalu kerap.

“Saya memberikan segala-galanya untuk membalas kembali setiap pukulan Aira, dia banyak melakukan pukulan sehingga memaksa saya melakukan pukulan di hadapan gelanggang,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Farida, Rachel memberitahu, kali terakhir dia bertemu pemain itu pada pusingan pertama Kejuaraan Dunia di Chicago, Amerika Syarikat, dua tahun lalu.

“Saya menang 3-1 dan sejak itu banyak peningkatan yang dipamerkan Farida, jadi, saya perlu bermain dengan baik, esok,” ujarnya.

Turut mara ke suku akhir, pemain No. 32 dunia, S. Sivasangari yang tidak berdepan masalah menundukkan Alicia Mead dari England 11-4, 11-3, 12-10.

Menanti pemenang pingat emas Sukan Asia di Hangzhou, China itu pada suku akhir ialah Lee Ka Yi dari Hong Kong yang menewaskan seorang lagi pemain Malaysia, Aifa Azman 11-8, 11-7, 7-11, 11-4.

Dua lagi wakil negara, Muhammad Addeen Idrakie dan Ivan Yuen tewas kepada lawan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya